• Laman

  • Hari Menulis

    Ogos 2017
    I S R K J S A
    « Ogo    
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    28293031  
  • Bio Q10 for Healthy Heart & Anti-Ageing

Kitaran Haids : Fisiologi dan Syariah

“Segala puji Allah yang memberikan kesakitan dan yang menyembuhkan. Sesungguhnya setiap kita akan diuji untuk melihat siapa di antara kita yang lebih baik amalannya”

 

Doktor merangkap ustaz?

Saya tidak menyangka tugas saya sebagai doktor juga berhadapan dengan persoalan-persoalan syariah yang diajukan oleh pesakit. Kebanyakan pesakit wanita yang bertanya masalah kitaran haids mereka.

Saya mengambil kesempatan ini untuk memberitahu puan-puan dan saudari-saudari bahawa saya hanya memetik beberapa perenggan kata-kata ulamak mengenai haids. Saya tidak dapat menyertakan nas-nas yang lebih tepat (al quran dan hadis). Jadi jika masih ragu-ragu mengenai haids silalah bertanyakan ulamak yang berhampiran dengan tempat tinggal puan.

Namun tujuan saya menulis artikel ini agar para pembaca dapat memahami haids dari sudut fisiologi dan mengaitkannya dengan kaedah syariah.

 

Pendarahan haids tidak sama dengan kitaran haids

Pembaca haruslah memahami penggunaan dua perkataan yang hampir sama tetapi berbeza iaitu Pendarahan Haids (menstruation) dengan Kitaran Haids (Menstrual Cycle)

Pendarahan haids, disebut “menstruation” adalah sebahagian dari kitaran haids (menstrual cycles). Maka hari pertama pendarahan haids adalah hari pertama bagi kitaran haids.

Pendarahan haids ditakrifkan sebagai ”darah yang keluar dari faraj (vagina) datang pada setiap bulan”.

Namun dari segi fisiologi, ianya ditakrif sebagai keluar darah yang berasal dari lapisan endometrium dari rahem wanita berlaku pada setiap bulan dalam usia yang masih subur (reproductive-age).

Kitaran haids biasanya bermula pada umur 9 tahun sehingga peringkat putus haids (menopause) sekitar umur 55 tahun.

Dalam syariah ini menandakan seorang kanak-kanak perempuan itu sudah akhil baligh dan harus melaksanakan perintah solat dan puasa, sementara dari segi fisiologinya, ianya menandakan kanak-kanak itu mula menjadi wanita sempurna dan telah sedia untuk menjalani proses penghamilan.

Mengikut kefahaman syariah saya, pendarahan dari faraj bagi kanak-kanak yang berumur kurang dari 9 tahun tidak dikira sebagai pendarahan haids.

 

Sifat darah haids

Puratanya kehilangan darah akibat pendarahan haids antara 10-80 mL. Darah yang keluar boleh saja berwarna merah, kuning atau coklat. Kecuali jika pad wanita yang diletakkan di bahagian kemaluan kelihatan bersih dan putih tanpa tompokan darah, maka wanita itu dikatakan telah habis masa pendarahan haids.

Ramai juga wanita yang menyedari terdapat kupingan tisu bercampur dengan darah haids mereka. Ianya adalah normal akibat keluarnya lapisan tisu endometrium bersama dengan darah haids.

Ada juga wanita yang bertanya mengapa darah haids mereka berketul-ketul? Sebenarnya darah haids biasanya cair, kerana terdapat enzim plasmin yang berada dalam rahem yang menghalang pembekuan darah.

Tanpa pembekuan darah, darah haids yang cair dapat keluar dari lubang pangkal rahem (cervix) yang sempit itu. Jika berlakunya pendarahan haids sehingga darah itu membeku dan berketul-ketul, bermakna penadarah haids terlalu banyak dan mungkin tidak berlaku secara normal.

Ini akan menyebabkan kekurangan darah merah dan haemoglobin, memerlukan diet zat besi (iron) yang tinggi. Maha Suci Allah yang mengaturkan kehidupan yang sempurna untuk hamba-hambaNYA.

Pendarahan haids yang berketul-ketul adalah pendarahan haids yang tidak normal akibat pendarahan yang agak banyak keluar dari rahem. Enzim plasmin tidak sempat untuk mencairkan darah itu, maka ianya keluar secara berketul-ketul.

 

Darah haids atau istihadhah?

Pendarahan haids tidak mungkin berlaku ketika kehamilan. Maka jika keduanya berlaku pada masa yang sama, ianya mustahil. Sebagai contoh, seorang yang disahkan hamil, maka darah yang keluar itu bukannya darah haids.  Begitu juga jika seseorang itu sedang mengalami pendarahan haids, wanita itu mustahil untuk hamil.

Darah yang keluar itu adalah darah yang disebabkan masalah kesihatan (penyakit), seperti tanda-tanda keguguran atau tanda kehamilan luar rahem.

Begitu juga darah yang keluar untuk beberapa hari selepas proses kelahiran bayi. Ianya bukan darah haids, ia disebut oleh syariah sebagai darah nifas.

Bagi wanita yang telah disahkan putus haids atau  menopause, darah yang keluar dari faraj merka adalah bukan darah haids, ianya dikira darah istihadha. Ianya mungkin disebabkan penyakit yang merbahaya seperti kanser pangkal rahem (cervical cancer) atau kanser rahem (endometrial cancer).

Bagi wanita yang belum menopause, darah istihadhah boleh disebabkan oleh keadaan yang dinamakan “Dysfunction Uterine Bleeding”.

Ianya berlaku disebabkan oleh keadaan hormon yang tidak seimbang, selalunya berlaku di usia 40an sebelum menopause dan kitaran haids mereka tidak menghasilkan benih wanita (ovum), dinamakan “anovulatory cycle” . Keluarnya darah istihadha begini haruslah dirujukkan para pakar perubatan atau gynaecologist.

Darah yang bukannya darah haids dalam syariah dinamakan sebagai darah  istihadhah. Dalam perubatan keadaan ini dinamakan sebagai Metrorrhagia iaitu apabila rahem mengeluarkan darah pada jangka waktu yang tidak tetap di antara dua kitaran haids. 

 

Berapa lama pendarahan haids?

Pendarahan haids bisanya berlaku antara 3 hingga 7 hari, malah ada yang berlaku sehingga 10 hari. Setiap wanita mempunyai kitar haids yang berbeza.

Maka ada yang wanita yang tidak mengalami pendarahan haids selama 6 bulan, dan apabila ianya berlaku, pendarahan berlautan sehingga beberapa minggu pula.

Mengapa perlunya mengetahui masalah pendarahan haids ini? Dari segi perubatan, pendarahan haids adalah normal dan berlaku pada wanita yang subur. Sementara darah yang bukan haids (istihadhah) adalah adalah yang menunjukkkan tanda-tanda awal penyakit dan perlu mendapat nasihat doktor.

Dari segi syariah pula, waktu pendarahan haids adalah waktu di mana wanita muslim tidak dibenarkan bersolat dan berpuasa. Pendarahan istihadah pula tidak membebaskan merka dari kewajipan berpuasa dan bersolat. Maka wanita muslim harus membezakan sama ada darah yang keluar dari farajnya adalah darah haids atau isthihadhah.

 

Bagaimana membezakan darah haids atau istihadhah?

Mengikut kefahaman syariah saya, pendarahan haids biasanya berlaku sekurang-kurangnya selama tiga hari dan tiga malam. Maka jika ianya berlaku kurang dari itu, ianya dinamakan darah istihadhah.

Sebagai contoh seorang wanita yang keluar darah dari farajnya pada pagi isnin. Jika ianya pendarahan haids, pendarahan itu berlaku sepanjang hari isnin dan malamnya, bersambung sepanjang selasa dan malamnya dan bersambung sepanjang rabu dan malamnya dan berakhir pada hari khamis pagi. Jika kurang dari 3 hari dan tiga malam ianya bukanlah darah haids.

Ada ulamak yang mengatakan panjangnya masa pendarahan haids antara 3 hari sehingga 10 hari. Ada juga yang mengatakan dua minggu (14 hari). Untuk ini pembaca haruslah merujuk kepada ulama.

 

Pendarahan haids yang tidak teratur

Menurut Sheikh ‘Abd al Azeez ibn Baaz, “pendarahan haids boleh berlaku dan bertukar dari lima hari kepada lapan hari atau sepuluh atau tujuh, tidak ada masalah dengan pendarahan haids itu. Jika berlaku perubahan pendarahan haids seperti ini , wanita itu tidak seharusnya bersolat dan berpuasa.

Pendarahan haids ini mungkin berubah menjadi pendek. Mungkin pendarahan haids itu menjadi pendek dari  tujuh hari kepada lima hari..

Atau ianya menjadi panjang, mungkin dari lima hari kepada sepuluh hari. Maka wanita itu tidak harus bersolat dan berpuasa sehingga hari kelima belas. Jika ianya melebihi lima belas hari, kebanyakan ulamak berpendapat darah itu adalah darah istihadhah (bukan darah haids).

Maka wanita itu harus mengkut kebiasaan hari pendarahan haidsnya. Jika kebiasaannya tujuh hari, maka tujuh hari itu dikira haids dan selebihnya dikira istihadhah. Dia harus bersolat dan berpuasa, dengan melakukan wudhu’ pada setiap solat selepas membersihkan pendarahan itu dan menggunakan helaian kain (saya berpendapat: meletakkan pad pada kemaluannya). Dia harus melakukan nya sehingga kedatangan kitaran haids berikutya.”

 

(Huraian saya, jika pendarahan haids kebiasaanya tujuh hari, namun pada kitaran haids kali ini ianya berlangsung sehingga 14 hari, maka ianya masih dikirakan haids selama 14 hari. Namun jika pendarahan itu berlangsung selama 18 hari, maka darah yang keluar bukannya darah haids, tetapi darah istihadhah. Wanita itu harus menggantikan puasanya selama 11 hari iaitu 18 hari ditolak 7 hari kebiasaan haidsnya, jika wanita itu tidak berpuasa di saat pendarahan itu kerana menyangkakan ianya adalah darah haids.

Ini bermakna jika pendarahan berlangsung selepas hari ke 14, maka haruslah berpuasa dan solat pada hari ke 15 walaupun mengalami pendarahan kerana pendarahan itu bukannya pendarahan haids).

 

Waktu bersih selama 14 hari

Mengikut kefahaman syariah saya, seseorang wanita seharusnya ‘suci’ selama 14 hari sebelum kedatangan pendarahan haids seterusnya. Jika pendarahan berlaku sebelum 14 hari, maka ianya tidak dikira sebagai pendarahan haids. (Sila semak dengan ulamak)

Maknanya, jika seorang wanita telah mengalami tujuh hari pendarahan haids dan sedang menjalani tempuh ’suci’, dengan tidak semena-mena selepas seminggu bersih dari haids, dia mengalami pendarahan lagi, maka pandarahan itu tidak dikira sebagai pendarahan haids.

Menurut kitab ”Masalah Lelaki dan Wanita” oleh Moulana Ashraf Ali Thanwi, masa suci antara dua pendarahan haids adalah sekurang-kurang dua minggu dan ianya tidak ada limit. Jika seseorang wanita tidak mengalami haids disebabkan apa juga alasan perubatan, ianya dikira suci dari haids. (Harus melakukan solat dan puasa). 

Jadi saya dapat rumuskan, bahawa pendarahan haids adalah pendarahan pada kitaran haids setiap bulan pada wanita yang subur (dari usia 9 tahun sehingga peringkat menopause, iaitu sekitar usia 55 tahun), berlangsung sekurang-kurangnya tiga hari sehingga empat belas hari dan diikuti dengan fasa suci selama dua minggu.

Semoga ianya dapat membantu puan-puan dan saudari-saudari yang bertanya. Saya amat mengalu-alukan sebarang komen dan pandangan dari ustaz-ustaz yang berkelulusan syariah untuk meningkatkan fahaman saya.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (210710)

http://www.facebook.com/drzubaidi

Halitosis : Pernafasan berbau busuk

Semua orang mulut berbau

Ramai yang tidak menyangka pernafasan berbau busuk sebenarnya dimiliki oleh setiap orang. Ianya lebih ketara terutama pada setiap pagi. Tiada orang yang terkecuali.

Tahap bau busuk yang tidak terlalu serius tidak dapat dikesan oleh sistem deria bau kita. Tetapi apabila apabila ianya terlalu kuat, maka hidung kita mula mengesan bau busuk dari pernafasan kita.

Bau busuk pada mulut ketika menghembuskan nafas ini dinamakan Halitosis.

Bau pernafasan yang busuk akan menyebabkan reaksi yang kurang menyenangkan pada orang lain. Apa yang sebenarnya berlaku ialah apabila otak mengesan bau busuk, ianya memaksa fizikal kita menjauhi bau ini dengan mengempiskan lubang hidung. Adakalanya ianya menyebabkan tersedak (gagging) tanpa dipaksa. Malah bagi yang sensitif, bau busuk menyebabkan rasa mual dan mahu muntah.   

Semua reaksi sebegini adalah involuntary, kadang kala menyebabkan seseorang itu berkecil hati, menganggap sebagai itu semua sebagai personal judgement dan merosakkan hubungan interpersonal.

 

Punca pernafasan berbau busuk

Halithosis boleh disebabkan pelbagai faktor. Namun kebanyakan (85–90%), pernafasan berbau berasal dari mulut itu sendiri, samada jangkitan kuman pada mulut, pemakanan (seperti bawang putih, bawang merah, protein-daging dan bahan tenusu), obesiti, merokok dan kesan pengambilan alkohol.

Tanpa kita sedari terdapat banyak kuman (anaerobic bacteria)  yang berada di mulut seseorang. Kuman jenis ini sebenarnya dapat hidup baik di tempat di mana bekalan oksigen kurang. Mereka memakan makanan yang tertinggal di celah gigi, gusi dan mulut dan mengeluarkan bahan kumuh. Kebanyak bahan kumuh yang dihasilkan mengandungi banyak bahan-bahan berasaskan sulfur.

Bau pernafasan yang busuk disebabkan bahan kumur bersulfur yang dinamakan “volatile sulfur compounds.” Jika kuman itu menghasilkan bahan ini dalam mulut kita ianya menyebabkan bau busuk yang menyerupai mayat (Cadaverine), atau daging busuk (Putrescine) atau bau najis manusia (Skatole) atau bau hapak kaki (Isovaleric Acid).

Dental plaque  yang berkumpul berwarna lapisan putih pada gusi dan lidah, menyebabkan ianya tidak cukup oksigen dan sesuai untuk berkembangan populasi kuman anaerobic bacteria ini.

Gusi juga menyebabkan masalah pernafasan berbau busuk akibat jangkitan kuman, abscess, ruang lompang di antara gigi, ruang di antara gigi dan gusi, atau akibat tampalan yang tidak sempurna dan gigi palsu yang kotor.

Keadaan yang tidak sihat ini lebih buruk jika seseorang itu menghidap diabetes mellitus atau mereka yang mempunyai masalah gusi periodontal disease.

Pesakit periodontal disease mengalami kerosakan tulang pipi yang menyokong gigi. Kerosakan yang teruk menyebabkan terdapat ruang lompangcan yang dalam di antara gusi dan gigi (periodontal pockets). Ianya amat sukar dibersihkan dengan baik, menjadikan kawasan ini sesuai bagi pembiakan bacterian anaerobic.

Hidung merupakan punca kedua bagi masalah pernafasan bau busuk. Ianya mungkin disebabkan oleh jangkitan sinus (sinusitis) atau terdapat bahanasing (foreign body) yang tidak disedari, terutama pada kanak-kanak.

Saya pernah mendapat kes, di mana ibubapa mengadu pernafasan anaknya amat busuk, bila diperiksa terdapat buah cermai yang busuk di dalam hidung yang sudah berada di situ selama seminggu dan terletak jauh di dalam hidung.

Tonsil yang bernanah juga menybabkan bau mulut busuk, selain dari tosillolith ( tisu tonsil menjadi batu akibat proses calcification)

Sesorang yang kerap sendawa juga mempunyai masalah pernafasan yang berbau. Cardia adalah injap (valve) di mana pertemuan antara esophagus dan perut (stomach), yang mana selalunya ianya mengecut menyebabkan isi perut tidak dapat naik ke esophagus.  Penyakit-penyakit seperti haitis hernia dan GERD menyebabkan asid naik ke esophagus dan gas keluar melalui mulut.

Selain dari itu penyakit-penyakit lain seperti fetor hapaticus (disebabkan oleh masalah kerosakan hati yang kronik),  jangkitan kuman pada bronchial, ginjal, kanser, diabetis mellitus dan trimethylaminuria (fish odor syndrome).

 

Mengesan bau mulut sendiri?

Cara yang paling mudah untuk seseorang mengetahui sama ada pernafasan kita berbau teruk atau tidak ialah dengan bertanyakan kepada ahli keluarga yang terdekat atau boleh dipercayai atau pasangan masing-masing.

Jika dia memberitahu bahawa kita mempunyai nafas yang berbau, jangan lupa bertanyakan puncanya, sama ada berasal dari mulut atau hidung.

Satu cara lain ialah dengan menjilat di belakang pergelangan tangan dan membiarkannya kering selama dua minit. Selepas kering, cubalah hidu air liur kita sendiri di situ. Itulah caranya anda menghidu bahagian hadapan (anterior) lidah kita.

Cara lain ialah untuk mengetahui bau mulut yang berasal dari bahagian belakang (posterior) lidah.

Ambil sudu dan terbalikkannya untuk mengeruk (scrape) bahagian belakang lidah. Lihat lendir keputihan yang terkumpul dan hidulah baunya.

 

Menjaga Kebersihan mulut

  1. Secara lembut bersihkan permukaan lidah dua kali sehari, dengan menggunakan sudu yang diterbalikkan dan melakukan kerukan (scrapping) secara lembut dan perlahan-lahan.
  2. Mengunyah chewing sugarless gum membantu menghasilkan lebih banyak air liur (saliva), secara tidak langsung akan mengurangkan bau busuk pada mulut. Ianya adalah sesuatu amalan yang bagus apabila tidak sempat untuk membersihkan mulut selepas makan, mungkin atas faktor kesibukan masa.
  3. Berkumuh dengan air garam yang suam atau bahan antiseptic seperti Lestrine. Namun tidak digalakan berkumuh dengan bahan itu selepas menggosok gigi menggunakan toothpaste.
  4. Menjaga kebersihan mulut seperti menggosok gigi dan flossing, kerana ianya penting bagi menanggalkan baki makanan yang tertinggal dan membersihkan  bacterial yang terletak di antara gigi. Gigi palsu (denture) seharusnya  dibersihkan dan direndam menggunakan bahan antiseptic yang khas.

Semoga kita dapat memanfaatkan info di atas dengan baik.

 

Susunan : Dr Zubaidi b Hj Ahmad (010710)

www.facebook.com/drzubaidi                               

Menghasilkan susu ibu untuk anak angkat, adakah tuntutan naluri dan nutrisi atau tuntutan syarie?

Tradisi lama diamal semula

Menyusukan bayi oleh seorang wanita yang bukan ibu kandung telah lama dipraktiskan. Sejarah kehidupan Nabi Muhammad s.a.w telah membuktikan amalan sebegitu bukan suatu amalan yang asing.

Bagi ibu yang menyusukan bayi sendiri, sudah tentu tiada masalah untuk memberikan susunya kepada bayi yang bukan anaknya, sama ada anak yatim yang kematian ibu, atau mungkin ibunya sakit tenat.

Namun sekarang ini ramai gadis yang tidak berkahwin (atau andartu) dan ibu yang tidak boleh hamil, mengambil anak angkat dan mengharapkan anak itu menjadi anak susuannya bagi membolehkan mereka menjadi mahram.

Kaedah syarie untuk menjadikan anak itu anak susuan, bolehlah merujuk dengan mana-mana agamawan. Oleh kerana saya juga mengikuti pengajian tidak rasmi (bukan di universiti mempelajari bidang syariah), dan saya diberitahu bahawa ianya diperbolehkan.

Sekali lagi harap rujuk pada ulama, saya hanya cuba memberikan kemudahan dengan cara menyampaikan nasihat perubatanuntuk mereka yang ingin menjadi ibu susuan. (Puan-puan dan tuan-tuan, jangan ‘quote‘ sebagai “Dr Zubaidi kata ianya harus dari segi syariah..please!”)

Sebelum itu, seperti biasa saya ingin mengalungkan ucapan terima kasih pada rakan-rakan yang membantu menyumbangkan pendapat pakar (professional opinion).

Antara artikel-artikel yang disarankan oleh rakan untuk rujukan ialah

1.Auerbach, K. and Avery, JL. “Induced Lactation: A study of adoptive nursing by 240 women,” American Journal of Diseases of Children, 1981, 135:240-243.

2.Jelliffe, D.B. and Jelliffe, E.F.P. “Non-Puerperal Induced Lactation,” Pediatrics, 1972, 50:170-171.

3.Sutherland, A. and Auerbach, K. “Relactation and Induced Lactation,” Lactation Consultant Series (Unit 1), 1985, La Leche League International.
 

Berikanlah kasih sayang, bukan susu saja…

Penyusuan bayi yang bukannya anak sendiri dicatit dalam Ianya juga tercatit dalam artikel “Human Milk in the Modern World”, Oxford University Press, New York, 1978 (.Jelliffe, DB and Jelliffe, EFP)

Penyusuan ini sebegini bertujuan untuk survival bayi itu itu. Menurut artikel itu, pada masa dahulu, ramai bayi-bayi kecil dan yatim telah terbiar mati disebabkan kekurangan zat makanan. Bayi-bayi itu tidak diberikan susu ibu akibat ketiadaan ibu mereka, sama ada telah meninggal dunia, sakit atau telah diberikan oleh ibu mereka akibat kedudukan ekonomi yang melarat.

Kehidupan bayi-bayi itu terbiar dan tidak diberikan susu ibu di awal usia mereka. Maka langkah pemberian susu ibu oleh ibu-ibu yang lain membolehkan bayi-bayi ini dipelihara kebajikannya. Keadaan ini berubah setelah susu formula diperkenalkan.

Sebenarnya terlalu banyak kebaikan dari penyusuan ibu. Ianya bukan setakat membekalkan nutrisi makanan pada bayi. Apa yang penting ialah penyusuan ibu harus disertai dengan peluk dan belai yang menyebabkan terjalinnya perhubungan (bonding) antara seorang anak dan ibu.

Keistimewaan keakraban yang diberikan sukar digambarkan. Maka saya amat menggalakkan pemberian susu ibu oleh seorang ibu kepada anaknya, walaupun kuantiti susu terlalu sedikit, kerana hubungan ini amat penting terutama pada bayi mereka.

Saya sendiri pernah merasakan keseronokan untuk berbaring di riba ibu semasa berumur tiga tahun, merasakan kasih sayang ibu, kadang kala merasa kerinduan untuk berbaring di situ, hanya mengharapkan pengalaman berkasih sayang dengan ibu, walau pun ketika itu tidak ada lagi susu ibu yang diberikan.

 

Bagaimana susu ibu dikeluarkan?

Untuk pengeluaran susu, dua hormon yang amat diperlukan iaitu prolactin dan oxytocin. Kedua-dua hormnon ini dikeluarkan oleh kelenjar pitutari bukan kelenjar ovari atau organ rahem (uterus).

Sementara hormon estrogen yang sangat diperlukan untuk mengandung atau mungkin dibekalkan pil perancang keluarga adalah hormon yang menghalang pembentukan susu.

Prolactin adalah hormon yang digunakan untuk menghasilkan susu sementara oxytocin pula adalah hormon untuk mengeluarkan (release) susu ibu. Hormon Oxytocin adalah hormon yang dikeluarkan akibat ransangan kepada puting (nipple suckling).

Ini bermakna jika seorang wanita tidak mengandung atau rahemnya bermasalah disebabkan penyakit atau telah dibedah buang melalui proses hysterectomy wanita itu masih lagi mampu mengeluarkan susu ibu sendiri.

 

Rawatan hormone atau rangsangan puting?

Banyak kaedah yang digunakan oleh para doktor untuk menggalakkan penghasilan dan pengeluaran susu ibu. Namun ramai doktor yang mengambil mudah memberikan ubat berupa il pada wanita itu, tanpa memberikan nasihat dan panduan yang betul.

Natijahnya ramai wanita yang putus asa, akibat hanya mengharapkan keajaiban dari pil yang diberikan. Harus difaham fisiologi badan kita tidak semulamembalik tapak tangan. Ianya memerlukan rawatan yang berkekalan dan nasihat serta motivasi dari doktor yang membekalkan ubat itu.

Sekali lagi saya mengharapkan agar rakan doktor bukan setakat memberikan pil tetapi memberikan panduan yang lengkap. Untuk mereka yang memerlukan nasihat saya, insy Allah saya akan menyiapkan panduan yang lengkap nanti.

Ada beberapa teknik penghasilan susu ibu, iaitu dengan menggunakan ubat pil dan satu lagi ransangan puting. (Kedua-dua teknik ini saya akan tuliskan dalam buku panduan itu secara detail,insya Allah)

Cuma yang mahu saya tekankan ialah walau pun rawatan ubat pil yang digunakan untuk merangsangkan pembentukan susu, namun teknik merangsang puting haruslah digunapakai juga. Ini akan mengurangkan kesan sampingan ubat pil itu selain cara teknik ransangan puting adalah mudah dan berkesan.

Teknik ransangan puting ini termasuk urutan payu dara, urutan puting dan menghisap puting sama ada oleh bayi atau mesin pam payudara.
Rawatan ubat haruslah diberikan oleh doktor

Saya mengharapkan agar selepas membaca artikel ini, tidak ada wanita yang cuba pergi ke farmasi untuk membeli dan menggunakan ubat yang saya sebutkan. Saya tidak akan bertanggungjawab atas tindak sendiri yang puan-puan akan lakukan. (Sila rujuk disclaimer).

Tujuan saya memberikan fakta sebagai panduan yang mana puan-puan boleh berbincang dengan doktor keluarga atau doktor peribadi puan.

Rawatan hormone yang dibiasa digunakan ialah rawatan estrogen yang digunakan untuk menyerupai (mimicking) kehamilan. Rawatan ini dihentikan serta merta agar tahap kepekatan hormon itu tiba-tiba jatuh rendah.

Keadaan ini menyerupai seolah-olah wnita itu sedang hamil dan kemudian melahirkan anak. Ubat yang menggalakkan pengeluaran prolactin kemudian diberikan (nama ubat bolehlah consult mana-mana doktor atau saya sendiri. KKM tidak membenarkan preskripsi diberikan secara umum). Selepas itu barulah ransangan puting (sucking stimulation) dilakukan.

Susu tidak keluar secara serta merta

Pengeluaran susu selalunya bermula antara seminggu hingga sebulan selepas ransangan puting dilakukan.

The Journal of Tropical Pediatrics 1994 40:240-242 menerbitkan satu artikel Induced Lactation: A Study of 37 Non-puerperal Mothers memberitahu bahawa pengeluaran susu menggunakan rawatan ubat biasanya antara lima hingga tigabelas hari, serupa dengan pengamalan ransangan puting. Ini bermakna seseorang itu boleh mengamalkan ransangan putting saja jika bimbang akan kesan sampingan ubat yang diambil, namun tekniknya haruslah betul.

 

Perubahan pada payudara

Perubahan awal yang berlaku adalah penghasilan susu setitik dua. Kemudian wanita itu merasakan perubahan warna puting dan kawasan sekitarnya (areolar). Payudara terasa sakit dan penuh. Sesetengah waita merasakan haus dan perubahan pada nafsu sex (libido) dan kitaran haids.

 

Adakah susu ibu yang dihasilkan itu serupa dengan susu ibu yang melahirkan?

Persoalannya yang sering ditanyakan adakah susu ibu yang dihasilkan dengan cara ini mempunyai nutrisi yang cukup untuk pertumbuhan bayi (infant growth) ?

Satu kajian menarik diterbitkan dalam The Journal of Pediatrics 1980, kajian bertajuk “Protein Values of Milk Samples from Mothers without Biological Pregnancies,” oleh Dr R. Kleinman mendapati komposisi protein susu yang dihasilkan secara ransangan ini sama dengan komposisi purata protein yang dihasilkan oleh ibu yang hamil.

Cuma kandungan nilai kepekatannya kurang. Ini bermaksud dalam susu ibu, bermakna susu itu mengandungi protein tetapi kepekatannya kurang. Kekurangan ini ketara pada kandungan albumin, antibodi immunoglobulin dan lactalbumin. Komposisi nutrisi itu banyak terdapat pada susu yang dihasilkan pada peringkat kolustrum.

Namun kajian yang dilakukan oleh Dr Kleinman menumpukan terhadap kandungan protein saja, tidak meneliti terhadap kandungan lain seperti kandungan lemak, karbohidrate dan mikronutrinyang lain.

 

Kolustrum susu ibu

Kolustrum (Colostrum) adalah susu yang dihasilkan oleh kelenjar mamary (payudara bagi manusia) di akhir peringkat kehamilannya. Kebanyakan mamaliamenghasilkan kolustrum dalam masa sehari selepas atau sebelum kelahiran bayi.

Kolustrum kaya dengan protein, vitamin A dan sodium klorida, namun rendah kandungan karbohidrat, lipid dan potassium berbanding dengan susu yang normal. Ianya juga mempunyai bioaktif komponen seperti hormon growth factor dan antibodi yang melawan kuman dan virus.

Menghisap puting saja tidak mencukupi untuk mengeluarkan colustrum. Ia memerlukan ransangan dari hormone yang dignakan semasa mengandung.
Ini bermakan susu yang dihasilkan oleh ibu yang tidak mengandung tidak melalui fasa colastral dan ianya menyerupai susu ibu yang matang.

 

Persoalan nutrisi atau syarie?

Namun kebanyakan wanita yang bertanya tidak berapa berminat dengan kandungan nutrisi susu yang dihasilkan itu walaupun tidak sempurna berbanding dengan susu yang dihasilkan oleh wanita hamil. Kekurangan ini ditampung dengan susu formula.

Persoalan syarienya, sudah semestinya apabila syarat menyusu dipenuhi, ianya akan dikira sebagai ibu susuan. Namun harus difaham, kaedah syarie itu ditetapkan kepada susu yang dihasilkan oleh ibu yang hamil. Susu yang dihasilkan oleh proses kehamilan mempunyai nutrisi yang cukup lalu bayi tadi mendapat faedah.

Masalah yang timbul sekarang, adakah susu yang dihasilkan oleh ibu yang tidak hamil juga dikira sebagai susu yang memenuhi kriteria untuk menjadi ibu dan anak susuan?

Wallahu a’lam.

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (040610)

Lendir Degil di dalam Tekak

 

Apakah yang menyebabkan lendir/kahak (phlegm)?

Lendir (Phlegm) adalah cecair yang pekat, melekat dikeluarkan oleh selaput  mukus (mucus membrane) yang terdapat di sepanjang saluran pernafasan. Maka lendir boleh dikeluarkan di sepanjang saluran pernafasan daripada paru-paru hingga ke rongga hidung. Apabila lendir ini berkumpul, ianya akan ditolak ke atas oleh “cilia” (rerambut kecil) daripada paru-paru naik ke tekak.

Lendir yang sedikit selalunya tidak mendatang masalah kerana ianya adalah sebahagian daripada sistem pertahanan badan. Lendir di paru paru dan trachea memerangkap habuk dan bendasing dan membawanya ke tekak ddengan cara rerambut cilia menolak lendir itu ke bahagian atas. Sekaligus menghalang habuk daripada masuk ke dalam sistem pernafasan. Namun begitu, lendir yang banyak menunjukkan ianya disebabkan oleh penyakit, dan bukannya perkara yang normal lagi. Ini berlaku terutama apabila lendir terlalu banyak dan mempunyai warna kuning atau hijau atau kuning kehijau-hijauan.

 

Apakah penyebab lendir berkumpul di tekak.

Lendir (phlegm) di tekak boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Sesetengah orang mengalami perasaan lendir di tekak pada waktu malam, manakala sebahagiannya pula mengalami lendir di waktu awal pagi. Ianya mungkin petanda bagi masalah saluran pernafasan yang kronik. Namun begitu masalah allergik (alahan) dan jangkitan virus adalah punca utama bagi lendir.

Tindakbalas allergik adalah disebabkan oleh habuk atau bendasing yang kecil. Sebagai contoh jika seorang pekerja di kilang kain, masalah utama beliau ialah terpaksa berdepan dengan habuk2 kain yang bersaiz kecil berterbangan di udara tanpa beliau sedari. Seorang guru yang mengajar murid-muridnya menggunakan kapur semasa menulis di papan hitam juga menghadapi masalah allergik pada habuk kapur, atau jika guru itu menggunakan pen marker untuk menulis, kemungkinan beliau akan allergik kepada bau dakwat yang digunakan.

Apabila tekak diserang oleh habuk sebegitu, ianya akan mencepatkan pembentukan lendir (mucus), yang bertujuan untuk mengumpulkan bendasasing yang halus ini dan dibuangkan dengan proses batuk. Ianya adalah sebahagian daripada sistem ketahanan tubuh (body immune system), pada masa yang sama menyebabkan radang tekak, selain dari pembentukan kahak yang banyak tadi.

Walau bagaimana jika tekak “diserang” dgn hebat, tubuh akan melipatgandakan sistem pertahanan sehingga menyebabkan saluran pernafasan menyempit, bagi mengelakkan banda asing ini masuk ke dalam saluran pernafasan. Ini dinamakan “bronchospasm” yang berlaku pada pesakit asthma, yang mana jika mereka bernafas, saluran pernafasan yang sempit menyebabkan pesakit mengeluarkan bunyi yang nyaring ketika bernafas.

Selain dari masalah itu, lendir yang banyak dan berkumpul boleh menyebabkan saluran pernafasan terhadang (block). Penyempitan saluran pernafasan (bronchospasm) dan saluran pernafasan yang tersumbat disebabkan oleh lendir yang pekat (mucus plug), boleh mengakibatkan kematian terutama pada kanak-kanak.

Lendir yabg terlau lama di tekak boleh menyebabkan masalah lain seperti tonsillitis, laryngitis, pharyngitis dan beberapa jangkitan di dalam paru-paru seperti acute bronchitis, pneumonia terutamanya bacterial pneumonia dan influenza pneumonia.

Jika seseorang mengalami demam yang tinggi, sakit tekak, sakit kepala dan selsema bersama lendir yang jernih, ianya mungkin hanya jangkitan virus. Jika lendir atau kahaknya berwarna kuning, ianya disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria, terutamanya apabila lendir/kahak kuning itu beserta dengan demam yang tinggi susah bernafas, sakit kepala dan sakit di bahagian otot-ototnya.

Kahak yang melekat

Mereka yang mempunyai masalah lendir di waktu pagi selalunya mengalami keadaan di mana lendir ditekaknya akan selalu “melekat” di situ. Keadaan ini dinamakan “POST NASAL DRIP” keadaan di mana lendir yang dikeluarkan dari hidung (nostril) tidak memeleh keluar melalui lubang hidung tetapi mengalir ke belakang hidung dan berkumpul di tekak.

“Post Nasal Drip” selalunya sangat berkait rapat dengan allergik atau sinusitis. Selain itu tabiat menghisap rokok juga menyebabkan lendir di tekak dan sukar dibuang.  Bagi penghisap rokok yang kronik, selalunya kesan jangka panjang ialah paru-parunya sentiasa berlendir ( chronic bronchitis) dan kadang kala rosak paru-parunya dan sukar bernafas (emphysema).

 

Cara mengurangkan lendir

Lendir di tekak biasanya dirawat dengan pengambilan antihistamine, decongestant dan dalam kes yang teruk, mungkin steroids.  Namun begitu ada beberapa cara yang mudah bagi mengurangkan lendir di tekak yang boleh dicuba di rumah.

Salah satu cara yang mudah dengan minum air suam seberapa kerap yang boleh. Pesakit boleh menambahkan madu ke dalamnya. Cara lain dengan mencampurkan madu dengan cinnamon (cengkih) dan diminum dengan secamca madu. Jika tidak, boleh makan sup tomato disediakan dengan halia, bawang putih dan lada putih (pepper).

Walau bagimanapun harus dicari punca (sources) penyebab allergik di dalam rumah atau di persekitaran rumah anda.

Allergik pada habuk dan cuaca sejuk adalah salah satu sebab utama bagi mereka yang mempunyai allergi.

Kesan Soya

Adakah soya dan produknya memberikan kesan pada kesuburan lelaki?

Soya dan hormone Estrogen.

Kacang soya adalah sumber protein dan sumber bagi hormone kesuburan wanita, estrogen. Namun begitu hormone wanita yang terhasil adalah sumber tumbuhan (plant-derived) yang dinamakan phytoestrogen dan ianya di’subclass’kan sebagai isoflavones.

Isoflavone juga mempunyai beberapa jenis yang mempunyai kesan yang berbeza-beza. Walau bagaimanapun kesan phytoestrogen ini terlalu kecil jika dibandingkan dangan kesan hormone estrogen yang sebenar. Ia juga kadang kala memberikan kesan antiestrogen yang membantu gejala menopause dan menghentikan pertumbuhan pertumbuhan sel-sel kanser.

Adakah soya memberikan kesan kepada kesuburan ?

Tidak ada banyak kajian mengenai ini. Namun ada yang berpendapat bahawa di negara pengeluar soya pun di mana pengambilan soya dalam diet pemakanan amat banyak sekali, kadar kelahiran tidak berkurang berbanding negara lain yang tidak mengamalkan pemakanan soya.Dalam erti kata yang lain, tiada kajian yang sah menunjukkan soya memberikan kesan kemandulan.

Namun ada beberapa kajian yang cuba mengaitkan pengambilan soya dalam pemakanan akan mengurangkan kesuburan wanita. Kajian yang diterbitkan oleh  American Journal of Clinical Nutrition, menyebut  pengambilan soya yang tinggi akan memanjangkan kitar haid , mengurangkan FSH dan mengurangkan LH.

Namun begitu kita harus faham bahawa kandungan soya yang terlalu tinggi sebegitu, mustahil diamalkan oleh kita.

Kajian oleh American Family Physician dalam majalah rasminya memberitahu bahaya pengambilan soya dalam makanan tidak seharusnya dianggap punca utama kemandulan bagi wanita. Ini adalah kerana kemandulan mempunyai pelbagai sebab dan pengambilan soya hanyalah faktor kecil yang menyebabkan kemanduan itu.

Kajian di American Journal of Clinical Nutrition menyatakan pengambilan soya tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesuburan, malah tidak menjejaskan peluang untuk mengandung dan melahirkan anak.

Bagaimana isu ini bermula?

Satu kajian yang agak kontroversi telah dijalankan oleh Dr Jorge Chavarro dan rakan-rakannya dari Harvard School of Public Health, Brigham dan Women’s Hospital, Massachusetts General Hospital, dan Harvard Medical School. Ianya diterbitkan dalam Journal Human Reproduction.

Kajian ini merupakan kajian cross-sectional, di mana ia cuba mengaitkan masalah kesuburan pada lelaki (bilangan sperma yg rendah) dengan pengambilan soya dalam diet.

Mereka telah melakukan kajian ini sepanjang tahun 2000-2006 di sebuah klinik kesuburan di Massachusetts General Hospital Fertility Centre dengan menjemput 598 orang lelaki untuk mengambil bahagian.

Daripada 598 orang yang dijemput, hanya 99 orang saja yang mengambil bahagian. Mereka kemudian diminta menyerahkan sampel air mani untuk dianalisa jumlah air mani (ejaculation volume), jumlah sperma, kepekatan sperma, pergerakan sperma dan struktur sperma. Pemeriksaan kesihatan juga dilakukan.

Namun bagaimana pun peserta-peserta itu hanya diberikan kertas soalan yang berbentuk questionnaire bagi menentukan kekerapan mereka mengambil soya. Kebanyak peserta ini adalah org Eropah  Caucasian dan berumur secara purata 36.4 tahun.

Di manakah kelemahan kajian ini?

Daripada 99 lelaki yang mengambil bahagian, majoriti mereka (72%) adalah berlebihan berat badan (over weight), 74% tidak pernah merokok. Kajian sperma pula mendapati  42% adalah normal, 10% mempunyai bilangan sperma yang rendah (kurang daripada 20 juta/ml). Hanya 55%  lelaki yang mempunyai pergerakan sperma yang lemah.

Manakala lelaki yang mempunyai sperma 42 juta/ml menafikan mengambil soya dalam pemakanan mereka.

Berdasarkan pemerhatian ini Dr Jorge Chavarro merumuskan bahawa mereka yang mengambil soya dalam pemakanan mempunyai bilnagn sperma yang kurang.

Walau bagaimana pun kajian ini telah mendapat kritikan dari beberapa pengkaji yang lain. Antara alasan mereka ialah ;

  1. Isipadu kajian ini adalah kecil, iaitu 99 orang sahaja yang mengambil bahagian. Apabila bilangan peserta kecil, maka sedikit perubahan dalam data akan memberikan peratusan yang tinggi dalam analisa. Sebagai contoh jika hanya 2 orang memberikan data yang berlainan, sebanyak 2% perubahan dalam pengumpulan data. Ini berbanding jika bilangan peserta erjumlah 1000 orang. Perubahan data yang diberikan oleh dua orang hanya merubahkan 0.2% dalam pengumpulan data yang dilakukan analisa.
  2. Teknik kajian cross-sectional tidak sesuai dalam kajian ini kerana mustahil boleh mengaitkan kualiti dan bilangan sperma dengan diet pemakanan. Para pengkritik bertanya adakah pengambilan soya menjadi sebab utama kepada masalah kesuburan itu, sedang para peserta ketika menjawab questionaire itu mungkin tidak mengingati jumlah pengambilan soya atau tidak mencatat (rekod) setiap kali mengambil soya. 
  3. Kebanyakan peserta mempunyai berat yang berlebihan (overweight), sedang para saintist mengetahui bahawa berat badan yang berlebihan sememangnya mempengaruhi kesuburan, walaupun tidak mengambil soya di dalam pemakanan. Maka kajian ini tidak boleh mengaitkan kesuburan dan pengambilan soya dalam diet pemakanan untuk lelaki yang mempunyai berat yang ideal.

Ada beberapa kritikan yang diberikan, termasuk pertanyaan yang menjadi tandatanya, iaitu di kalangan penduduk Asia, ramai lelaki yang mengambil soya sebagai diet pemakanan kerana ianya adalah sumber protein yang murah.

Namun pengambilan soya tidak menjejaskan langsung penduduk India yang mengambil soya sebagai minuman, penduduk China yang mengambil taufu dalam makanan dan penduduk Indonesia (Jawa) yang mengambil tempe sebagai hidangan minuman petang mahu pun lauk dalam menu makanan tengah hari dan malam.

Maka para pengkritik yang terdiri daripda ahli sains dan doktor perubatan menolak idea/kajian ini. Seharusnya kemandulan lelaki dikaitkan dengan konteks yang lebih luas lagi iaitu cara hidup (termasuk rokok dan alkohol), kegiatan seksualnya, kesihatan mereka secara menyeluruh dan aspek diet yang lebih memudaratkan ialaitu diet pemakanan yang mempunyai banyak lemak dan karbohidrate.

Bagi mereka yang tidak mempunyai masalah kesuburan, soya tidak akan memberikan kesan yang drastik. Maksudnya mereka tidak akan menjadi mandul semata-mata kerana mengambil soya atau produk soya dalam makanan.

Kesimpulannya, pengambilan soya secara sederhana semestinya digalakkan dan ianya tidak akan memberikan kesan kemandulan. Pengambilan secara berlebihan mana-mana makanan juga tidak digalakkan, termasuk pengambilan soya. Harus juga diingatkan soya juga memberikan kesan positif yang lain pada tubuh dalam aspek kesihatan secara menyeluruh.

Bilakah sakit dada merbahaya?

Apabila anda berada sakit dada, terutama yang berumur 35 tahun ke atas, mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi, kandungan kolestrol dalam darah yang ringgi (hypercholestrole) dan obesiti , serangan sakit jantung adalah punca utama.

Serangan sakit jantung (myocardial infarction) adalah keadaan yang sangat serius.  Clot (gumpalan) di saluran arteri jantung menyebabkan bekalan darah ke jantung menjadi berkurang atau terhenti sama sekali. Semakin lama keadaan ini dibiarkan semakin teruklah kerosakan pada otot jantung.

Bila ianya merbahaya ?

Jika selama ini anda selalu rasa kurang selesa di bahagian dada tetapi berasa reda/lega apabila anda rehat.

Ianya akan menjadi tanda serangan sakit jantung yang serius jika

  1. sakit dada menjadi lebih kuat
  2. sakit dada tidak berkurang dengan berehat
  3. sakit dada berlaku bila anda dalam keadaan rehat dan bukan dalam aktiviti atau emosi yang stress.

Maka dapatkanlah rawatan secepat mungkin. Pesakit yang mengalami sakit dada digalakkan terus ke hospital kerana kemudahannya lebih lengkap berbanding dengan klinik.

Migraine

APA ITU MIGRAINE?

Migrain adalah sakit kepala yang menyakitkan, berdenyut-denyut dan berlangsung antara 4-72 jam sehingga seseorang itu tidak mampu melakukan pekerjaan rutin hariannya. Namun begitu menurut kajian yg dibuat, migraine tidak mendatang kesan jangka panjang yang serius.

APA PENYEBAB MIGRAINE?

Menurut kajian, migrain boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Pada asasnya, apabila berlaku migrain saluran darah akan mengembang dan menguncup menyebabkan kita berasa sakit kepala yang berdenyut-denyut.Migrain boleh disebabkan oleh faktor keturunan. Jika ibu mengalami migrain semasa muda, anaknya juga boleh mengalami migrain.

APAKAH TANDA-TANDA MIGRAINE?

Migraine biasanya menyebabkan rasa sakit kepala berdenyut-denyut (throbbing headache) pada sebelah kepala dan rasa loya. Namun ada juga sakit kepala di kedua-dua belah kepala. Individu yang berlainan mempunyai tanda2 penyakit migraine yg berlainan.

Pergerakan, cahaya, bunyi bising dan bau-bauan boleh memburukkan lagi migraine. Kadang kala seseorang itu boleh merasakan aura, iaitu beliau dapat melihat bintik-bintik, gelombang cahaya atau pancaran2 cahaya di depan matanya. Tangan, bahu dan muka akan menjadi kebas. Ianya berlaku 30 min sebelum sakit kepala.

BAGAIMANA MIGRAINE ITU DIDIAGNOSA?

Selalunya doktor cuba exclude atau mencari kemungkinan2 lain penyebab sakit kepala seperti kerabunan mata, stress atau tidak cukup rehat. Namun begitu doktor akan mengatakan ianya migraine jika :

  1. Anda mempunyi 5 kali atau lebih sakit kepala tanpa aura atau 2 kali sakit kepala dgn aura.
  2. Sakit kepala yg berlangsung 4-72 jam tanpa makan apa2 ubat.
  3. Rasa loya dan mahu muntah, pancaran cahaya dan bunyi menyebabkan sakit kepala bertambah teruk.

BAGAIMANA IANYA DIRAWAT ?

Migraine biasanya dirawat dgn ubat tahan sakit. Ianya boleh didapati di farmasi. Namun jika ianya tidak berkesan, haruslah berjumpa dgn doktor untuk rawatan lanjut. Migraine juga boleh dikurangkan dengan mengelakkan pengambilan cheese, coklat dan MSG.