• Laman

  • Hari Menulis

    Julai 2010
    I S R K J S A
    « Jun   Ogo »
     1234
    567891011
    12131415161718
    19202122232425
    262728293031  
  • Bio Q10 for Healthy Heart & Anti-Ageing

Kitaran Haids : Fisiologi dan Syariah

“Segala puji Allah yang memberikan kesakitan dan yang menyembuhkan. Sesungguhnya setiap kita akan diuji untuk melihat siapa di antara kita yang lebih baik amalannya”

 

Doktor merangkap ustaz?

Saya tidak menyangka tugas saya sebagai doktor juga berhadapan dengan persoalan-persoalan syariah yang diajukan oleh pesakit. Kebanyakan pesakit wanita yang bertanya masalah kitaran haids mereka.

Saya mengambil kesempatan ini untuk memberitahu puan-puan dan saudari-saudari bahawa saya hanya memetik beberapa perenggan kata-kata ulamak mengenai haids. Saya tidak dapat menyertakan nas-nas yang lebih tepat (al quran dan hadis). Jadi jika masih ragu-ragu mengenai haids silalah bertanyakan ulamak yang berhampiran dengan tempat tinggal puan.

Namun tujuan saya menulis artikel ini agar para pembaca dapat memahami haids dari sudut fisiologi dan mengaitkannya dengan kaedah syariah.

 

Pendarahan haids tidak sama dengan kitaran haids

Pembaca haruslah memahami penggunaan dua perkataan yang hampir sama tetapi berbeza iaitu Pendarahan Haids (menstruation) dengan Kitaran Haids (Menstrual Cycle)

Pendarahan haids, disebut “menstruation” adalah sebahagian dari kitaran haids (menstrual cycles). Maka hari pertama pendarahan haids adalah hari pertama bagi kitaran haids.

Pendarahan haids ditakrifkan sebagai ”darah yang keluar dari faraj (vagina) datang pada setiap bulan”.

Namun dari segi fisiologi, ianya ditakrif sebagai keluar darah yang berasal dari lapisan endometrium dari rahem wanita berlaku pada setiap bulan dalam usia yang masih subur (reproductive-age).

Kitaran haids biasanya bermula pada umur 9 tahun sehingga peringkat putus haids (menopause) sekitar umur 55 tahun.

Dalam syariah ini menandakan seorang kanak-kanak perempuan itu sudah akhil baligh dan harus melaksanakan perintah solat dan puasa, sementara dari segi fisiologinya, ianya menandakan kanak-kanak itu mula menjadi wanita sempurna dan telah sedia untuk menjalani proses penghamilan.

Mengikut kefahaman syariah saya, pendarahan dari faraj bagi kanak-kanak yang berumur kurang dari 9 tahun tidak dikira sebagai pendarahan haids.

 

Sifat darah haids

Puratanya kehilangan darah akibat pendarahan haids antara 10-80 mL. Darah yang keluar boleh saja berwarna merah, kuning atau coklat. Kecuali jika pad wanita yang diletakkan di bahagian kemaluan kelihatan bersih dan putih tanpa tompokan darah, maka wanita itu dikatakan telah habis masa pendarahan haids.

Ramai juga wanita yang menyedari terdapat kupingan tisu bercampur dengan darah haids mereka. Ianya adalah normal akibat keluarnya lapisan tisu endometrium bersama dengan darah haids.

Ada juga wanita yang bertanya mengapa darah haids mereka berketul-ketul? Sebenarnya darah haids biasanya cair, kerana terdapat enzim plasmin yang berada dalam rahem yang menghalang pembekuan darah.

Tanpa pembekuan darah, darah haids yang cair dapat keluar dari lubang pangkal rahem (cervix) yang sempit itu. Jika berlakunya pendarahan haids sehingga darah itu membeku dan berketul-ketul, bermakna penadarah haids terlalu banyak dan mungkin tidak berlaku secara normal.

Ini akan menyebabkan kekurangan darah merah dan haemoglobin, memerlukan diet zat besi (iron) yang tinggi. Maha Suci Allah yang mengaturkan kehidupan yang sempurna untuk hamba-hambaNYA.

Pendarahan haids yang berketul-ketul adalah pendarahan haids yang tidak normal akibat pendarahan yang agak banyak keluar dari rahem. Enzim plasmin tidak sempat untuk mencairkan darah itu, maka ianya keluar secara berketul-ketul.

 

Darah haids atau istihadhah?

Pendarahan haids tidak mungkin berlaku ketika kehamilan. Maka jika keduanya berlaku pada masa yang sama, ianya mustahil. Sebagai contoh, seorang yang disahkan hamil, maka darah yang keluar itu bukannya darah haids.  Begitu juga jika seseorang itu sedang mengalami pendarahan haids, wanita itu mustahil untuk hamil.

Darah yang keluar itu adalah darah yang disebabkan masalah kesihatan (penyakit), seperti tanda-tanda keguguran atau tanda kehamilan luar rahem.

Begitu juga darah yang keluar untuk beberapa hari selepas proses kelahiran bayi. Ianya bukan darah haids, ia disebut oleh syariah sebagai darah nifas.

Bagi wanita yang telah disahkan putus haids atau  menopause, darah yang keluar dari faraj merka adalah bukan darah haids, ianya dikira darah istihadha. Ianya mungkin disebabkan penyakit yang merbahaya seperti kanser pangkal rahem (cervical cancer) atau kanser rahem (endometrial cancer).

Bagi wanita yang belum menopause, darah istihadhah boleh disebabkan oleh keadaan yang dinamakan “Dysfunction Uterine Bleeding”.

Ianya berlaku disebabkan oleh keadaan hormon yang tidak seimbang, selalunya berlaku di usia 40an sebelum menopause dan kitaran haids mereka tidak menghasilkan benih wanita (ovum), dinamakan “anovulatory cycle” . Keluarnya darah istihadha begini haruslah dirujukkan para pakar perubatan atau gynaecologist.

Darah yang bukannya darah haids dalam syariah dinamakan sebagai darah  istihadhah. Dalam perubatan keadaan ini dinamakan sebagai Metrorrhagia iaitu apabila rahem mengeluarkan darah pada jangka waktu yang tidak tetap di antara dua kitaran haids. 

 

Berapa lama pendarahan haids?

Pendarahan haids bisanya berlaku antara 3 hingga 7 hari, malah ada yang berlaku sehingga 10 hari. Setiap wanita mempunyai kitar haids yang berbeza.

Maka ada yang wanita yang tidak mengalami pendarahan haids selama 6 bulan, dan apabila ianya berlaku, pendarahan berlautan sehingga beberapa minggu pula.

Mengapa perlunya mengetahui masalah pendarahan haids ini? Dari segi perubatan, pendarahan haids adalah normal dan berlaku pada wanita yang subur. Sementara darah yang bukan haids (istihadhah) adalah adalah yang menunjukkkan tanda-tanda awal penyakit dan perlu mendapat nasihat doktor.

Dari segi syariah pula, waktu pendarahan haids adalah waktu di mana wanita muslim tidak dibenarkan bersolat dan berpuasa. Pendarahan istihadah pula tidak membebaskan merka dari kewajipan berpuasa dan bersolat. Maka wanita muslim harus membezakan sama ada darah yang keluar dari farajnya adalah darah haids atau isthihadhah.

 

Bagaimana membezakan darah haids atau istihadhah?

Mengikut kefahaman syariah saya, pendarahan haids biasanya berlaku sekurang-kurangnya selama tiga hari dan tiga malam. Maka jika ianya berlaku kurang dari itu, ianya dinamakan darah istihadhah.

Sebagai contoh seorang wanita yang keluar darah dari farajnya pada pagi isnin. Jika ianya pendarahan haids, pendarahan itu berlaku sepanjang hari isnin dan malamnya, bersambung sepanjang selasa dan malamnya dan bersambung sepanjang rabu dan malamnya dan berakhir pada hari khamis pagi. Jika kurang dari 3 hari dan tiga malam ianya bukanlah darah haids.

Ada ulamak yang mengatakan panjangnya masa pendarahan haids antara 3 hari sehingga 10 hari. Ada juga yang mengatakan dua minggu (14 hari). Untuk ini pembaca haruslah merujuk kepada ulama.

 

Pendarahan haids yang tidak teratur

Menurut Sheikh ‘Abd al Azeez ibn Baaz, “pendarahan haids boleh berlaku dan bertukar dari lima hari kepada lapan hari atau sepuluh atau tujuh, tidak ada masalah dengan pendarahan haids itu. Jika berlaku perubahan pendarahan haids seperti ini , wanita itu tidak seharusnya bersolat dan berpuasa.

Pendarahan haids ini mungkin berubah menjadi pendek. Mungkin pendarahan haids itu menjadi pendek dari  tujuh hari kepada lima hari..

Atau ianya menjadi panjang, mungkin dari lima hari kepada sepuluh hari. Maka wanita itu tidak harus bersolat dan berpuasa sehingga hari kelima belas. Jika ianya melebihi lima belas hari, kebanyakan ulamak berpendapat darah itu adalah darah istihadhah (bukan darah haids).

Maka wanita itu harus mengkut kebiasaan hari pendarahan haidsnya. Jika kebiasaannya tujuh hari, maka tujuh hari itu dikira haids dan selebihnya dikira istihadhah. Dia harus bersolat dan berpuasa, dengan melakukan wudhu’ pada setiap solat selepas membersihkan pendarahan itu dan menggunakan helaian kain (saya berpendapat: meletakkan pad pada kemaluannya). Dia harus melakukan nya sehingga kedatangan kitaran haids berikutya.”

 

(Huraian saya, jika pendarahan haids kebiasaanya tujuh hari, namun pada kitaran haids kali ini ianya berlangsung sehingga 14 hari, maka ianya masih dikirakan haids selama 14 hari. Namun jika pendarahan itu berlangsung selama 18 hari, maka darah yang keluar bukannya darah haids, tetapi darah istihadhah. Wanita itu harus menggantikan puasanya selama 11 hari iaitu 18 hari ditolak 7 hari kebiasaan haidsnya, jika wanita itu tidak berpuasa di saat pendarahan itu kerana menyangkakan ianya adalah darah haids.

Ini bermakna jika pendarahan berlangsung selepas hari ke 14, maka haruslah berpuasa dan solat pada hari ke 15 walaupun mengalami pendarahan kerana pendarahan itu bukannya pendarahan haids).

 

Waktu bersih selama 14 hari

Mengikut kefahaman syariah saya, seseorang wanita seharusnya ‘suci’ selama 14 hari sebelum kedatangan pendarahan haids seterusnya. Jika pendarahan berlaku sebelum 14 hari, maka ianya tidak dikira sebagai pendarahan haids. (Sila semak dengan ulamak)

Maknanya, jika seorang wanita telah mengalami tujuh hari pendarahan haids dan sedang menjalani tempuh ’suci’, dengan tidak semena-mena selepas seminggu bersih dari haids, dia mengalami pendarahan lagi, maka pandarahan itu tidak dikira sebagai pendarahan haids.

Menurut kitab ”Masalah Lelaki dan Wanita” oleh Moulana Ashraf Ali Thanwi, masa suci antara dua pendarahan haids adalah sekurang-kurang dua minggu dan ianya tidak ada limit. Jika seseorang wanita tidak mengalami haids disebabkan apa juga alasan perubatan, ianya dikira suci dari haids. (Harus melakukan solat dan puasa). 

Jadi saya dapat rumuskan, bahawa pendarahan haids adalah pendarahan pada kitaran haids setiap bulan pada wanita yang subur (dari usia 9 tahun sehingga peringkat menopause, iaitu sekitar usia 55 tahun), berlangsung sekurang-kurangnya tiga hari sehingga empat belas hari dan diikuti dengan fasa suci selama dua minggu.

Semoga ianya dapat membantu puan-puan dan saudari-saudari yang bertanya. Saya amat mengalu-alukan sebarang komen dan pandangan dari ustaz-ustaz yang berkelulusan syariah untuk meningkatkan fahaman saya.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (210710)

http://www.facebook.com/drzubaidi

Kesakitan Abdomen Semasa Hamil

“Segala puji bagi Allah yang memberikan kesakitan dan yang menyembuhkan. Sesungguhnya setiap kita akan diuji untuk melihat siapa di antara kita yang lebih baik amalannya”

 Saya mulakan artikel kali ini dengan satu pertanyaan dari seorang ibu yang kerungsingan.

 “Tuan Doktor, sekarang saya mengandung 30 minggu anak kedua. Anak pertama sudah 4 tahun dan lahir secara pembedahan caeseran. Kenapa saya merasa sakit di pangkal perut bawah seolah terasa bayi yang di kandung berada di bawah tu? Saya merasakan sakit perut itu seharian dan saya merasa tidak selesa. Saya sudah berjumpa doktor dan telah menjalani ujian scan untuk bayi saya. Doktor memberitahu kedudukan bayi saya adalah normal, bergerak aktif dan pergerakannya melebih 10x sehari. Saya ingin bertanya doktor masalah saya iaitu sakit perut yang tidak henti-henti dan apa perlu saya buat?”

 

Adakah wanita yang hamil merasa sakit di bahagian abdomen bawah dikira normal?

Ramai wanita yang hamil mengadu sakit perut. Bayangkan dengan penambahan berat bayi beberapa kilogram di dalam abdomen, sudah tentu ianya akan memberikan suatu keadaan yang tidak selesa dan tidak menyenangkan.

Selalunya ‘ketidakselesaan’ ini tidak merbahaya, namun adakalanya ianya adalah tanda awal kepada masalah yang besar. Ianya boleh jadi berkaitan dengan kehamilan, namun ada juga kesakitan yang tiada kaitan langsung dengan kehamilan. Ini bermakna wanita yang tidak hamil juga mengalaminya.

Namun begitu jika ‘ketidakselesaan’ ini atau kesakitan pada abdomen ini berpanjangan, jangan dibiarkan. Bukan saja ia mungkin boleh menyebabkan bahaya kepada ibu yang hamil,  malah kepada bayi yang berada dalam kandungan.

Saya cuba membincangkan secara ringkas beberapa masalah yang berkaitan dengan ‘ketidakselesaan’ atau kesakitan di bahagian abdomen terutama di akhir kehamilan. Namun diharapkan puan-puan tidak cuba mendiagnosa diri sendiri. Berjumpalah dengan doktor yang biasa puan buat rawatan semasa kehamilan. Doktor yang biasa merawat puan mungkin lebih memahami puan dari segi masalah kesihatan puan dan juga lebih perhatian kepada emosi puan. Ramai yang tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh doktor yang baru dikenali hanya kerana mungkin doktor itu kurang menghargai emosi mereka. Jadi untuk tidak merasa kecewa dengan diagnosa yang diberikan, berjumpalah dengan doktor yang biasa puan jumpa.

 

Agaknya kesakitan yang bagaimana dikatakan merbahaya dan yang mana pula dikatakan tidak merbahaya?

Saya cuba menyusun beberapa tanda kesakitan perut berserta dengan keluhan lain yang mungkin merbahaya. Antaranya ialah kesakitan abdomen berserta dengan sakit yang memulas-mulas yang berulang-ulang dan berlarutan beberapa lama, pendarahan dari faraj sama ada sedikit (darah bercampur lendir atau spotting) atau darah yang banyak, sakit perut berserta demam dan menggigil, keluar lendiran banyak yang keluar dari faraj, atau kesakitan abdomen ketika kencing serta rasa loya dan muntah.

 

 Adakah ianya tanda serius?

Antara sebab ketidakselesaan di bahagian abdomen yang merbahaya ialah kelahiran pra matang. Keadaan begini berlaku tanpa sebab, apabila rahim mula mengecut (contraction) dan pangkal rahim (cervix)  mula mengembang dan membesar sebelum umur kelahiran 37 minggu. Jika tidak dikawal, ini menyebabkan bayi di dalam rahim akan keluar sebelum tiba masanya.

Maka jika puan merasakan ‘ketidakselesaan’ atau kesakitan pada umur kehamilan sebelum 37 minggu , eloklah segera berjumpa doktor.

Pengalaman saya bekerja di wad bersalin, ika kesakitan abdomen itu berterusan terutama di bahagian bawah (ari-ari atau suprapubic), maka wanita hamil itu dinasihatkannya untuk rehat di wad untuk pemerhatian. Jika keadaan terkawal, kehamilan bayi dapat diperpanjangkan. Jika tidak kelahiran pramatang tidak dapat dielakkan.

Tanda-tanda awal bagi kelahiran sebegini ialah sakit di bahagian abdomen bawah. Ianya boleh saja sakit yang menggganggu atau hanya  terasa penuh dan tidak selesa. Kadang-kala ianya melarat menjadi sakit seperti senggugut dan berpanjangan. Ada yang menceritakan seolah-olah memulas-mulas 4-5 kali setiap jam. Ada juga yang merasakan kesakitan itu melarat hingga ke pinggang.

Tanda lain bagi kelahiran pramatang ialah keluarnya lendiran dari faraj (vaginal discharge)  sama ada ianya berbentuk lender pekat, cecair yang cair atau bercampur dengan darah.

Asalkan lendir itu keluar dari faraj pada wanita yang hamil, ianya merupakan tanda yang tidak baik. Apatah lagi darah yang keluar merupakan darah yang merah (fresh blood), ianya lebih membimbangkan.

 

Satu lagi kes yang serius ialah keadaan yang dinamakan sebagai ”Placental abruption”. Ianya amat serius kerana uri (placenta) mula berpisah dari dinding rahim sebelum proses kelahiran bermula.

Placental abruption ini berlaku secara tidak semena-mena menyebabkan pendarahan yang banyak ketika hamil. Cuba bayangkan seorang wanita yang hamil, sedang berjalan tiba-tiba terjatuh dan pendarahan yang banyak keluar melalui farajnya. Ininya mungkin tanda placenta abruption.

Namun begitu jika uri yang berpisah dari dinding rahem secara perlahan-lahan, pendarahannya mungkin hanya sedikit atau mungkin hanya lendir bercampur dengan darah saja yang keluar dari faraj.

Pendarahan itu boleh berkumpul dalam airtuban, dan mula disedari apabila selaput airtuban itu pecah ketika melahirkan bayi.

Masalah dengan Placenta Abruption ini bukan saja kehilangan darah pada wanita yang mengandung itu, tetapi nyawa anak yang dikandung. Keadaan anak yang dikandung dapat diteliti dan diperiksa dengan menggunakan ultrasound untuk melihat pergerakan bayi dan degupan jantungnya.

 

Jangkitan kuman pada pundi kencing juga sering berlaku pada wanita yang hamil. Perlu disedari bahawa jangkitan kuman ini amat mudah berlaku pada wanita yang hamil akibat kesan dari hormon dan saluran kencing (urethra) mereka yang pendek. Hormone estrogen menyebabkan juga lubang kencing mereka relax, tidak ditutup rapat  dan mudah dimasuki kuman.

Wanita yang bermasalah begini kadang kalanya merasakan pedih ketika kencing. Mereka mengadu seperti rasa terbakar di bahagian abdomen bawah, atau mungkin hanya tidak selesa di bahagian itu.

Doktor akan melakukan ujian air kencing dan selalunya menamakan sebagai ‘kencing kotor’. Pesakit juga mungkin tidak dapat hendak mengawal kencing dan rasa tidak puas selepas kencing. Warna iair kencing mungkin kuning pekat, keruh, berbau busuk dan kadang kalanya bercampur darah.

Jika tidak dirawat dengan betul, ianya mungkin melarat sehingga menyebabkan jangkitan kuman di ginjal.

 

Faktor-faktor Lain

Banyak juga punca sakit perut yang tidak berkaitan dengan kehamilan. Ianya mungkin berpunca dari jangkitan kuman dari makanan akibat food poisoning, atau sakit di sebelah kanan bawah iaitu appendicitis, batu karang di ginjal, jangkitan virus hepatitis, kesakitan di bahagian kanan atas akibat jangkitan pundit hempedu, jangkitan kuman pancreatitis, dan juga masalah usus yang tersumbat (bowel obstruction).

Mungkin juga kesakitan itu tidak merbahaya, namun harus berjumpa dengan doctor untuk memastikan bahawa ianya bukannya satu keadaan merbahaya dan kecemasan.

Masalah perut berangin dan kembung perut akibat terkumpulnya gas berlaku kerana hormone semasa mengandung melambat proses penghadaman. Rahim yang membesar juga menyebabkan tekanan pada usus dan perut, memburukkkan lagi keadaan.

Sembelit juga memberikan rasa tidak selesa di bahagian abdomen bawah. Ianya dapat diatasi apabil najis yang telah lama berkumpul keluar melalui lubang najis. Jika memakan banyak serat tidak membantu, bolehlah membeli ubat di farmasi atau klinik.

Di dalam bahagian pelvis, ada stuktur yang dinamakan sebagai “ Round ligament”. Ligamen ini yang ‘memegang’ rahem agar berada pada kedudukan yang stabil. Salah satu punca yang menyebabkan rahem ‘turun’ apabila ligament ini tidak lagi kuat.

Apabila kandungan kehamilan bertambah, berat yang harus ditanggung oleh stuktur untuk mengekalkan posisi rahem telah menyebabkannya menjadi keras, tebal dan regang (stretch). 

Akibatnya wanita yang hamil akan merasa tidak selesa atau kemungkinan rasa sakit seperti ditikam/dicucuk-cucuk untuk sementara waktu atau ‘sakit yang sukar diceritakan’ di kedua-dua belah abdomen bawah. Kesakitan ini mula dirasakan apabila pesakit bangun dari posisi duduk atau mencangkung, batuk yang kuat atau mengangkat barang dari lantai.

Atau ianya dapat dirasakan setelah lasak bekerja dan mengemas rumah. Kesakitan begini dinamakan Round Ligament Pain. Sukar untuk mendiagnosanya dan tiada ubat yang spesifik untuk kesakitan sebegini. Banyakkan rehat dan berhenti dari melakukan kerja-kerja yang berat. Dapatkan pendapat doktor jika kesakitan atau ketidakselesaan itu berlarutan walaupun setelah berehat.

Ada juga yang mengadu kesakitan di bahagian abdomen bawah di umur kehamilan menjejaki 30 minggu. Ia dirasakan seperti rahem mengeras dan dinamakan  Braxton-Hicks contractions. Sebelum umur kehamilan 37 minggu ianya tidak merbahaya, namun biasanya ianya tidak berapa sakit dan tidak kerap.

Kesakitan ini bukannya suatu petanda kelahiran tetapi mungkin akibat pergerakan bayi di dalam rahem yang merangsangkan pengecutan rahem. Harus diingat keadaan sebegini tidak seharusnya disertai dengan keluarnya darah atau cecair dari faraj.

 

Kesimpulan

Bagi wanita yang mengalami kesakitan atau ketidakselesaan pada bahagian abdomen bawah, dan telah menjalani ujian dan pemeriksaan doktor, saya nasihatkan agar banyak bersabar.

Seperti mana yang saya selalu tuliskan, dengan bersabar, minda kita akan mudah menerima ujian Allah ini dan tubuh kita akan lebih mudah menerima kesakitan ini.

Jangan banyak berfikir tentang kesakitan dan ketidakselesaan itu, amalkan membaca al Quran dan zikir yang sahih. Petua-petua ini telah menjadi amalan berkurun-kurun oleh solefussoleh, isteri dan anak-anak mereka. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk bersabar dan berjuang untuk terus menjalani kehidupan. Ameen.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (100710)

http://www.facebook.com/drzubaidi

ASHERMAN’S SYNDROME: Lekatan Dinding Rahim

Lekatan dinding rahim

Saya masih ingat bagaimana resahnya seorang ibu muda yang baru mempunyai seorang anak. Oleh kerana dia tidak bersedia untuk menerima ‘rezeki’ kedua, maka kandungan kehamilannya digugurkan beberapa bulan yang lalu.

Apa yang merungsingkan beliau ialah walaupun setelah 3 bulan menjalankan proses pengguguran itu dengan menggunakan teknik D&C, dia masih lagi merasakan sakit di bahagian ari-ari (suprapubic) dan haidnya tidak menentu.

Dan yang lebih merunsingkan lagi, setelah mendengar kata-kata dari rakan-rakannya, dia sering bertanya “mampukah dia mengandung semula selepas ini”

Berlainan pula dengan seorang lagi wanita muda yang mempunyai tiga orang anak. Masalahnya bermula setelah anaknya yang terakhir berumur 10 tahun itu semakin membesar. Beliau terasa sunyi dan dan mahukan seorang lagi anak.

Masalah beliau ialah beliau selalu keguguran semasa kehamilan apabila umur kehamilan mencecah 2 bulan. Beliau telah mengalami tiga kali keguguran secara spontaneous. Semuanya berlaku akibat D&C yang pernah dilakukan empat tahun lalu.

Apakah semua simptom seperti haid tidak teratur, keguguran kehamilan (miscarriages) berulang kali dan sakit di kawasan ari-ari (suprapubic) adalah berkait rapat dengan prosedur D&C yang pernah mereka lakukan?

Jika ianya benar, apakah peluang untuk kehamilan yang akan datang?

 

Bagaimana lekatan (adhesion) ini berlaku?

Lekatan pada rahim seperti ini dinamakan Asherman Syndrome, dan ianya tidak berlaku pada rahim yang normal.

Ia selalunya berlaku pada rahim sedang mengandung. Pada ketika itu rahim berada dalam keadaan yang amat fragile akibat akibat kesan dari hormone Progestrone.

Dalam keadaan biasa, rahim mempunyai ruang lompang yang dikenali sebagai uterine cavity, diselaput oleh satu lapisan tisu yang dikenali sebagai endometrium.

Lapisan ini mempunyai sifat untuk bertindakbalas dengan pantas terhadap trauma atau kecederaan. Ia akan membaiki sendiri  (self-repairing) dengan mudah. Selain itu, sifat endometrium itu sendiri yang sentiasa tanggal (shed off) setiap bulan apabila tidak persenyawaan berlaku mengakibatan pendarahan haid.

Kebanyakan kes begini berlaku berkaitan dengan prosedur D&C berlaku pada rahim yang mengandung pada usia kehamilan antara 12 dan 20 minggu.

D&C biasanya dilakukan untuk mengeluarkan janin bayi yang telah mati setelah berlaku keguguran kehamilan, atau menggugurkan bayi dengan sengaja.

Kecedaraan dan trauma pada dinding rahim yang sedang mengandung menyebabkan radang (inflammation) yang teruk pada dinding rahim. Apabila proses penyembuhan berlaku, ianya menyebabkan parut (scarring). Akhirnya kedua-dua dinding rahim akan melekat antara satu sama satu dengan yang lain.

Ramai doktor mengakui bahawa kelekatan dinding rahim biasanya disebabkan oleh rawatan surgical procedur  (sebagai contoh D&C) pada rahim ketika mengandung, terutama jika ada komplikasi jangkitan kuman, yang mana tidak dikesan dan tidak dirawat.

 

Ujian yang dilakukan

Asherman’s syndrome biasanya tidak memberikan tanda yang khusus. Ini bermakna jika seseorang wanita mengalami kitaran haid yang tidak menentu di samping selalu keguguran, sakit suprapubic dan pernah menjalani proses D&C, kemungkinan besar dinding rahimnya telah melekat, lalu keadaan ini dinamakan Asherman’s syndrome.

Pemeriksaan gynaecology iaitu pemeriksaan pelvik yang rutin mungkin tidak akan memberikan apa-apa tanda, selalunya ianya didapati normal.

Ujian yang biasa dijalankan dinamakan hysterosalpingogram, di mana ujian X-ray pada rahim yang telah disuntikkan pewarna (dye) agar imej x ray akan menunjukkan sama ada dinding rahim itu melekat atau tidak.

Ujian hysteroscopy dilakukan dengan lebih baik apabila kamera dimasukkan ke dalam rahim. Kali ini bukan imej x ray yang dilihat, tetapi imej yang lebih nyata dilihat keadaan dalam rahim tersebut.

 

Kemungkinan untuk hamil

Ramai yang musykil tentang kemungkinan untuk mengandung lagi. Ramai yang mencuba pelbagai produk MLM, ‘urutan menaikkan rahim’’ ‘bersengkak’ dan tidak kurang juga berjumpa bomoh dan mencuba jampi dan tangkal.

Walau bagaimana pun, pesakit yang mengalami Asherman’s syndrome boleh dirawat dengan melakukan pembedahan untuk membuang selaput yang menyebabkan kedua rahim itu melekat antara satu dengan yang lain.

Satu kajian telah dilakukan dan mendapati kira-kira 70-80% dari wanita yang tidak subur akibat penyakit Asherman’s syndrome ini berjaya mengandung setelah melakukan rawatan yang betul dan sempurna.

Namun begitu, faktor umur memainkan peranan dalam proses kehamilan semula walaupun setelah rawatan dan pembedahan dilakukan. Jika wanita itu berumur  35 tahun ke bawah, dirawat kemungkinan untuk mengandung ialah 66.6% berbanding dengan 23.5% jika wanita itu berumur 35 ke atas.

Maka saya juga menasihatkan para wanita supaya berhati-hati jika mengmbil keputusan untuk melakukan D&C, terutamanya ketika mahu melakukan pengguguran tanpa sebab syarie dan perubatan. Pengguguran secara haram terutama di klinik bukan Islam yang kebersihan peralatannya diragui, boleh mengundang jangkitan kuman pada rahim yang sihat. Akibatnya bukan saja Asherman Syndrome tetapi pelbagai risiko perubatan yang bertandang.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (100710)

http://www.facebook.com/drzubaidi

Halitosis : Pernafasan berbau busuk

Semua orang mulut berbau

Ramai yang tidak menyangka pernafasan berbau busuk sebenarnya dimiliki oleh setiap orang. Ianya lebih ketara terutama pada setiap pagi. Tiada orang yang terkecuali.

Tahap bau busuk yang tidak terlalu serius tidak dapat dikesan oleh sistem deria bau kita. Tetapi apabila apabila ianya terlalu kuat, maka hidung kita mula mengesan bau busuk dari pernafasan kita.

Bau busuk pada mulut ketika menghembuskan nafas ini dinamakan Halitosis.

Bau pernafasan yang busuk akan menyebabkan reaksi yang kurang menyenangkan pada orang lain. Apa yang sebenarnya berlaku ialah apabila otak mengesan bau busuk, ianya memaksa fizikal kita menjauhi bau ini dengan mengempiskan lubang hidung. Adakalanya ianya menyebabkan tersedak (gagging) tanpa dipaksa. Malah bagi yang sensitif, bau busuk menyebabkan rasa mual dan mahu muntah.   

Semua reaksi sebegini adalah involuntary, kadang kala menyebabkan seseorang itu berkecil hati, menganggap sebagai itu semua sebagai personal judgement dan merosakkan hubungan interpersonal.

 

Punca pernafasan berbau busuk

Halithosis boleh disebabkan pelbagai faktor. Namun kebanyakan (85–90%), pernafasan berbau berasal dari mulut itu sendiri, samada jangkitan kuman pada mulut, pemakanan (seperti bawang putih, bawang merah, protein-daging dan bahan tenusu), obesiti, merokok dan kesan pengambilan alkohol.

Tanpa kita sedari terdapat banyak kuman (anaerobic bacteria)  yang berada di mulut seseorang. Kuman jenis ini sebenarnya dapat hidup baik di tempat di mana bekalan oksigen kurang. Mereka memakan makanan yang tertinggal di celah gigi, gusi dan mulut dan mengeluarkan bahan kumuh. Kebanyak bahan kumuh yang dihasilkan mengandungi banyak bahan-bahan berasaskan sulfur.

Bau pernafasan yang busuk disebabkan bahan kumur bersulfur yang dinamakan “volatile sulfur compounds.” Jika kuman itu menghasilkan bahan ini dalam mulut kita ianya menyebabkan bau busuk yang menyerupai mayat (Cadaverine), atau daging busuk (Putrescine) atau bau najis manusia (Skatole) atau bau hapak kaki (Isovaleric Acid).

Dental plaque  yang berkumpul berwarna lapisan putih pada gusi dan lidah, menyebabkan ianya tidak cukup oksigen dan sesuai untuk berkembangan populasi kuman anaerobic bacteria ini.

Gusi juga menyebabkan masalah pernafasan berbau busuk akibat jangkitan kuman, abscess, ruang lompang di antara gigi, ruang di antara gigi dan gusi, atau akibat tampalan yang tidak sempurna dan gigi palsu yang kotor.

Keadaan yang tidak sihat ini lebih buruk jika seseorang itu menghidap diabetes mellitus atau mereka yang mempunyai masalah gusi periodontal disease.

Pesakit periodontal disease mengalami kerosakan tulang pipi yang menyokong gigi. Kerosakan yang teruk menyebabkan terdapat ruang lompangcan yang dalam di antara gusi dan gigi (periodontal pockets). Ianya amat sukar dibersihkan dengan baik, menjadikan kawasan ini sesuai bagi pembiakan bacterian anaerobic.

Hidung merupakan punca kedua bagi masalah pernafasan bau busuk. Ianya mungkin disebabkan oleh jangkitan sinus (sinusitis) atau terdapat bahanasing (foreign body) yang tidak disedari, terutama pada kanak-kanak.

Saya pernah mendapat kes, di mana ibubapa mengadu pernafasan anaknya amat busuk, bila diperiksa terdapat buah cermai yang busuk di dalam hidung yang sudah berada di situ selama seminggu dan terletak jauh di dalam hidung.

Tonsil yang bernanah juga menybabkan bau mulut busuk, selain dari tosillolith ( tisu tonsil menjadi batu akibat proses calcification)

Sesorang yang kerap sendawa juga mempunyai masalah pernafasan yang berbau. Cardia adalah injap (valve) di mana pertemuan antara esophagus dan perut (stomach), yang mana selalunya ianya mengecut menyebabkan isi perut tidak dapat naik ke esophagus.  Penyakit-penyakit seperti haitis hernia dan GERD menyebabkan asid naik ke esophagus dan gas keluar melalui mulut.

Selain dari itu penyakit-penyakit lain seperti fetor hapaticus (disebabkan oleh masalah kerosakan hati yang kronik),  jangkitan kuman pada bronchial, ginjal, kanser, diabetis mellitus dan trimethylaminuria (fish odor syndrome).

 

Mengesan bau mulut sendiri?

Cara yang paling mudah untuk seseorang mengetahui sama ada pernafasan kita berbau teruk atau tidak ialah dengan bertanyakan kepada ahli keluarga yang terdekat atau boleh dipercayai atau pasangan masing-masing.

Jika dia memberitahu bahawa kita mempunyai nafas yang berbau, jangan lupa bertanyakan puncanya, sama ada berasal dari mulut atau hidung.

Satu cara lain ialah dengan menjilat di belakang pergelangan tangan dan membiarkannya kering selama dua minit. Selepas kering, cubalah hidu air liur kita sendiri di situ. Itulah caranya anda menghidu bahagian hadapan (anterior) lidah kita.

Cara lain ialah untuk mengetahui bau mulut yang berasal dari bahagian belakang (posterior) lidah.

Ambil sudu dan terbalikkannya untuk mengeruk (scrape) bahagian belakang lidah. Lihat lendir keputihan yang terkumpul dan hidulah baunya.

 

Menjaga Kebersihan mulut

  1. Secara lembut bersihkan permukaan lidah dua kali sehari, dengan menggunakan sudu yang diterbalikkan dan melakukan kerukan (scrapping) secara lembut dan perlahan-lahan.
  2. Mengunyah chewing sugarless gum membantu menghasilkan lebih banyak air liur (saliva), secara tidak langsung akan mengurangkan bau busuk pada mulut. Ianya adalah sesuatu amalan yang bagus apabila tidak sempat untuk membersihkan mulut selepas makan, mungkin atas faktor kesibukan masa.
  3. Berkumuh dengan air garam yang suam atau bahan antiseptic seperti Lestrine. Namun tidak digalakan berkumuh dengan bahan itu selepas menggosok gigi menggunakan toothpaste.
  4. Menjaga kebersihan mulut seperti menggosok gigi dan flossing, kerana ianya penting bagi menanggalkan baki makanan yang tertinggal dan membersihkan  bacterial yang terletak di antara gigi. Gigi palsu (denture) seharusnya  dibersihkan dan direndam menggunakan bahan antiseptic yang khas.

Semoga kita dapat memanfaatkan info di atas dengan baik.

 

Susunan : Dr Zubaidi b Hj Ahmad (010710)

www.facebook.com/drzubaidi