• Laman

  • Hari Menulis

    Jun 2010
    I S R K J S A
    « Mei   Jul »
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    282930  
  • Bio Q10 for Healthy Heart & Anti-Ageing

Sakit Kepala Berterusan: Adakah Tumor Otak?

Beberapa minggu yang lalu, saya pernah ‘highlight’kan tentang masalah sakit kepala yang sebelum ini dipandang remeh oleh beberapa rakan FB. Doktor-doktor yang merawat mereka juga tidak memberikan penerangan yang jelas tentang masalah sakit kepala yang pesakit hadapi.

Saya mencari fakta di beberapa artikel di journal-journal seperti “Brain Tumors N Engl J Med 2001 344: 114-123” oleh Dr Lisa M. De Angelis dan di JAMA, February 2, 2005; 293(5): 557 – 564 “Patterns of Care for Adults With Newly Diagnosed Malignant Glioma” dan artikel S. M, A C Lamont, N A Alias, and M N Win “Red flags in patients presenting with headache: clinical indications for neuroimaging” British Journal of Radioliology, August 1, 2003; 76(908): 532 – 535.

Banyak soalan-soalan yang diajukan oleh rakan-rakan FB, antaranya ialah adakah sakit kepalanya “normal”? Atau adakah sakit kepala yang berpanjangan itu disebabkan oleh “migraine”? Atau disebabkan oleh tumor dalam otak?

Pada saya tidak ada sakit kepala yang normal kerana tanda/gejala sakit kepala sendiri menandakan sesuatu yang tidak normal berlaku pada pesakit.

Jadi kalau pesakit mengalami sakit kepala, ianya tidak normal. Kalau ada doktor atau paramedic yang berkata “sakit kepala awak ini normal”, maka (dengan kemaafan) saya mengangap doktor atau paramedik ini malas untuk menerangkan apa yang sebenarnya berlaku dan mungkin dia mempunyai tahap pengetahuannya yang tidak mencukupi.

Saya memahami perasaan pesakit yang mengalami sakit kepala yang berpanjangan, bertambah teruk dari masa ke semasa dan tidak beransur sembuh.

Maka ramai pesakit yang tertanya-tanya adakah sakit kepala yang dialami merupakan suatu tanda kecil bagi penyakit yang lebih besar, contohnya tumor otak?

Sebelum saya menjawab persoalan itu, elok juga kalau kita memahami secara ringkas apa yang dikatakan sebagai tumor otak. Kemudian kita memahami kaitan tumor itu dengan sakit kepala.

 Apakah Tumor Otak?

Tumor otak adalah perkembangan sel otak secara cepat tetapi tidak normal. Ianya boleh jadi kanser(malignant) yang sangat merbahaya atau jenis bukan-kanser(benign) yang kurang bahaya.

Sel-sel abnormal ini yang membesar dan menjadi tumor, itu boleh jadi berasal dari sel-sel otak itu sendiri yang dinamakan neuron, sel glial, sel astrocytes, sel oligodendrocytes, sel ependymal.

Atau ianya boleh jadi dari berasal dari saluran limfatik (lymphatic tissue), atau saluran darah (blood vessel) atau saluran saraf yang dinamakan myelin-producing Schwann cells.

Sel tumor itu juga mungkin berasal dari saraf cranial nerves, atau selaput otak (meninges), atau tempurung kepala (skull) atau dari kelenjar pituitary dan kelenjar pineal , atau merebak dari kanser di organ lain, (metastatic tumors).

Saya tidak menafikan bahawa sakit kepala sememangnya tanda bagi tumor otak, namun sakit kepala yag disebabkan oleh tumor otak ini mempunyai sifat-sifat tertentu yang membezakannya dari sakit kepala disebabkan oleh masalah-masalah yang lain.

Harus kita ingat bahawa tumor otak adalah bukan satu penyakit yang biasa atau kerap berlaku. Alhamdulillah, Allah tidak menjadi tumor otak ini sebagai pembunuh nombor stu di mana-mana negara.

Saya mengambil contoh di Amerika Syarikat kerana di sana teknologi kesihatan seperti CT Scan dan MRI sangat meluas dan kemudahan kesihatan sangat bagus. Ini membolehkan setiap kanser yang dihidapi oleh rakyatnya dapat didaftarkan dengan baik.

Di United States (US), pada tahun 2005, dianggarkan sebanyak 43,800 kes baru yang didiagnosakan sebagai tumor otak. (rujukan: Central Brain Tumor Registry of the United States, Primary Brain Tumors in the United States, Statistical Report, 2005–2006), yang mana mewakili sebanyak 1.4 peratus dari semua jenis kanser, 2.4 peratus dari semua kematian disebabkan kanser, dan 20–25 peratus kanser yang dialami oleh kanak-kanak. Oleh itu, tumor otak bukanlah kebiasaan penyebab sakit kepala, kerana kebarangkalian untuk mendapat tumor otak adalah sangat kecil.

Sakit kepala yang kronik biasanya disebabkan oleh masalah lain yang kurang serius seperti migrain, allergik (resdung) atau masalah mata.

Apakah kaitan tumor otak dan sakit kepala?

Ruang di dalam tempurung kepala sangat terbatas. Secara asanya ianya mengandungi otak, selaput otak dan cecair cerebro-spinal (CSF). Ruang ini tidak akan membesar walaupun ada sebahagian sel di dalamnya akan membesar (menjadi tumor) atau pertambahan tekanan di dalamnya.

Ruang di situ bukannya seperti ruang di dalam belon. Jika tekanan di dalam ruang belon itu bertambah disebabkan tiupan udara ke dalamnya, ruang dalam belon akan bertambah. Kekenyalan dinding getah pada belon itu, menyebabkan belon mudah bertambah saiznya apabila tekanannya bertambah.

Oleh kerana ruang di dalam tempurung kepala dibatasi oleh tulang tengkorak yang keras, maka jika ketumbuhan otak semakin membesar dalam tengkorak, tekanan di dalam tempurung semakin tinggi.

Apabila dari tekanan dalam tengkorak (intracranial pressure) bertambah, akibat keterbatasan ruang, tekanan itu akan menekan sel-sel lain. Akibatnya pesakit mengalami sakit kepala. Adakalanya diiringi oleh rasa loya dan muntah.

Jika tekanannya terlalu kuat sehingga menghimpit saraf-saraf yang mengawal anggota badan dan organ lain, sudah yentu ianya memberikan kesan negatif pada anggota atau organ itu.

Pesakit akan berasa pandangannya kabur (jika menjejskan saraf mata), pendengaran menjadi kurang (jika menjejaskan saraf telinga), anggota badannya (tangan dan kaki) menjadi lemah jika menjejaskan saraf motor yang mengawal otot itu.

Bagaimanakah Sakit Kepala yang disebabkan oleh tumor otak?

Harus diingat bahawa, sakit kepala bukanlah tanda awal bagi sebarang ketumbuhan/tumor di dalam otak. Ianya selalunya bersama dengan tanda-tanda lain, atau pun sakit kepala terasa apabila tanda-tanda lain telah pun muncul.

Mungkin pesakit akan mendapat sawan dahulu, atau perubahan pada pandangan mata atau pendengarannya. Pesakit juga mungkin akan terasa tangan atau kakinya lemah, seorang-olah sedang menghadapi serangan stroke. Kadang-kala ingatan (memori)nya menjadi tidak menentu dan sering kali lupa.

Ada pesakit bertanyakan saya adakah sakit kepala yang disebabkan oleh tumor di kepala menyebabkan sakit kepala di awal pagi. Saya telah meneliti di beberapa journal, tiada bukti yang menyokong pendapat ini.

Sakit kepala disebabkan tumor otak selalunya akan bertambah teruk apabila saiznya bertambah membesar. Walau bagaimana pun tidak semua pesakit tumor otak yang menghadapi sakit kepala yang kuat, sehingga mengganggu routine hariannya.

Namun apabila sakit kepala menyerang, pesakit bisanya akan terjaga dari tidur seakan-akan ada sesuatu yang menyucuk di dalam tengkoraknya.

Ada pesakit yang tidak tahan dengan kesakitan ini, lalu menghantukkan kepalanya di dinding, sehingga luka di dahi dan keningnya berdarah. Hantukan ini menyebabkan terasa seperti satu kelegaaan sedikit kepada pesakit itu.

Sakit kepala itu selalunya digambarkn sebagai yang ”sukar digambarkan”, (pesakit selalu berkata kepada saya, susah hendak cerita macam mana sakit kepala itu).

Kadang kala sakit kepala itu berdenyut-denyut seperti migraine. Semakin hari sakit kepala bertambah kerap. Kalau dulu mungkin sebulan sekali, ianya bertambah menjdi seminggu sekali dan akhirnya menjadi setiap hari.

Tahap kesakitannya juga bertambah dan seterusnya akan kekal kesakitannya, susah mendapat kelegaan. Mungkin kalau dulu dengan sebiji panadol, ianya memberikan kelegaan, sekarang harus memakan dua biji panadol. Akhirnya mencuba ponstan, synflex, arcoxia dn lain ubat penahan sakit, namun kelegaannya hanya semantara.

Sakit kepala yang disebabkan oleh tumor otak juga bertambah dengan perubahan posisi. Apabila seorang pesakit cuba mengubah kedudukannya, sakit kepalanya bertambah teruk, terutama apabila dia cuba berbaring.

Batuk dan bersin juga menyebabkan tekanan di dalam tekorak (ICP) akan bertambah dan pesakit mengalami sakit kepala yang keterlaluan.

Saya membuat kesimpulan bahawa sakit kepala yang disebabkan oleh tumor otak adalah sangat kompleks dan ianya berbeza dari seorang ke seorang yang lain.

Apa yang menyebabkan doktor mengesyaki sakit kepala itu adalah tumor otak?

Pesakit yang mengalami sakit kepala yang kronik harusnya mencari seorang doktor yang dipercayainya.

Pesakit mampu menilai tahap pengetahuan doktor dengan bertanyakan beberapa soalan tentang penyakitnya. Jika doktor itu cuba mengelak dari menjawab soalan itu atau memberikan jawapan sambil lewa, bermakna doktor itu tidak menepati kriteria yang saya sebutkan.

Doktor juga harus menunjukkan sikap kopentasi (kemahiran) dan cara kmunikasi yang baik. Kriteria yang saya sebutkan tidak semestinya berada pada diri seorang doktor yang pakar.

Ada pesakit mengadu pengalamannnya berjumpa dengan doktor pakar neurology (neurologist), melayan pesakitnya dengan lewa, sehinggakan sakit kepala yang tidak serius dikatakan tumor otak dan manakala sakit kepala yang sangat kuat pula dikatakan tidak apa-apa.

Malah ada doktor dengan mudah melabel seseorang itu mengalami sakit kepala sebgai migraine menyebabkan pesakit sudah mati akal, tidak tahu apa yang harus diharapkankan lagi selain makan ubat penahan sakit saja untuk sakit kepalanya.

Doktor akan memerhatikan kekerapan pesakit berjumpa dengannya, terutama jika pesakit telah datang beberapa kali pada waktu yang dekat. Bagi saya sendiri, kalau pesakit datang dua kali dalam masa sebulan, saya berpendapat sakit kepalanya adalah serius.

Oleh kerana itu pesakit haruslah bersabar menjawab soalan yang dikemukakan oleh doktor wlaupun pada masa itu mungkin pesakit itu tidak mampu menahan kesakitannya. Tanpa menjawab soalan-soalan itu pihak doktor sebenarnya tidak menemukan “clue” kerana sakit kepala mempunyai banyak sebab.

Pihak doktor dapat mengelak dari melakukan keseluruhan ujian yang mungkin tidak perlu jika pesakit memberikan kerjasama dengan menjawab soalan-soalan itu dan menjaga kesabarannya.

Alangkah baik kalau pesakit sendiri dapat menyimpan buku kecil yang mana dia boleh mencatatkan pada masa mana dia mengalami sakit kepala dan apa yg dilakukan ketika itu.

Ini akan mengurangkan soalan-soalan yang dikemukan oleh pihak doktor dan pesakit boleh memberikan jawaban yang tepat. Jika tidk pesakit akan memberikan jawaban “saya tak tahu” atau “saya tidak ingat” menyebabkan pesakit dan juga pihak doktor sama-sama kecewa.

Maka tidak hairanlah saya mendapat ”feedback” dari pesakit yang kecewa dengan konsultasi dengan pakar saraf kerana diberitahu sakit kepalanya “tak ada apa-apa” atau “ ini disebabkan angin dalam kepala”. Semua jawapan yang diberikan doktor ini menggambar kekecewaan doktor terhadap kerjasama dari pesakit ketika menjawab soalan yang diberikan, lalu doktor memberikan jawaban pun yang sambil lewa atau malas.

Doktor perlu tahu dari pesakit, ‘apakah yang menyebabkan punca sakit kepla yang tiba-tiba’. Adakah tatkala itu, pesakit sedang melihat skrin komputer, atau sedang berehat tiba-tiba terdengar bunyi muzik yng kuat dimainkan oleh jiran menyebbkan sakit kepala terus menyerang atau mungkin selepas memakan makan berminyak.

Doktor juga mahu tahu ‘berapa kekerapan pesakit itu mengalami sakit kepala’. Adakah setiap hari? Setiap minggu? Atau di waktu malam atau di waktu tengah hari?

Kadang kala doktor bertanya beberapa soalan yang kadang kala menyakitkan hati pesakit. Namun ianya penting seperti

 1. Adakah sakit kepala ini pernah terjadi sebelum ini atau adalah ini pertama kali?

Pesakit yang sebelum ini mempunyai sakit kepala, mungkin sakit kepalanya kali ini disebabkan oleh allergi dan migraine biasanya tidak membimbangkan.

Namun bagi mereka yang tidak pernah sakit kepala yang terlalu kuat seperti ini, ianya seharusnya diselidik lebih mendalam.

 Bagi pesakit yang sebelum ini pernah dan kerap mengalami sakit kepala, biasanya pesakit dapat memberitahu sama ada kesakitannya bertambah kuat, atau berubah tempat, dari depan kepala ke bahagian kepala, atau mungkin menyebabkan gejala/ tanda-tanda yang lain seperti pendengaran dan pemandangannya menjadi kurang atau anggota badannya menjadi lemah. Perubahan-perubahan ini mungkin disebabkan oleh tumor otak.

 2.Apakah nama ubat yang selalu diambil untuk mengurangkan sakit kepala?

Saya sering menerima rungutkan pesakit apabila soalan ini saya tanyakan. Mereka menjawab dengan marah (mungkin sambil menahan sakit kepala), ”Manalah saya tahu, saya bukannya doktor!”. Ada juga yang memberitahu saya warna ubat yang diambil untuk melegakan sakit kepala.

Walaupun ianya memberikan sedikit clue ttg ubat yang diambilnya, namun ianya tidak cukup bagus. Ini kerana banyak ubat generik yang dihasilkan oleh beberapa buah syarikat pharmaseutikal memberikan warna-warna yang berlainan pada ubat-ubat mereka.

Tujuan soalan ini ditanyakan ialah untuk mengetahui sama ada ubat yang diambil oleh mereka itu adakah di tahap biasa, atau sudah mulai menggunakan ubat-ubat yang agak kuat.

Pesakit haruslah berkata dengan jujur jika mengambil ubat-ubatan dari farmasi secara “over-the-counter” seperti Panadol atau Ponstan. Malah beritahu juga kalau ubat yang diambil merupakan ubatan herba, atau dipreskripsikan oleh doktor lain.

Apa yang penting, doktor mahu mengetahui sama ada ianya berkesan atau tidak. Adakah ianya berkesan buat sementara atau tidak berkesan langsung. Selalunya sakit kepala yang disebabkan oleh tumor otak tidak akan mendapat kelegaan daripada ubat penahan sakit. Kalau ada kelegaaan, mungkin bersifat sementara. Keadaan ini seharusnya menyebabkan doktor akan memikirkan sesuatu yang lebih serius sedang berlaku.

Secara ringkas sakit kepala yang disebabkan tumor otak biasanya akan menyebabkan tanda-tanda lain seperti pandangan semakin berkabur, atau anggota badan menjadi lemah.

Selain itu, sakit kepala menjadi bertambah kuat dan tidak mendapat kelegaan walaupun telah mengambil ubat penahan sakit. Apa yang boleh saya nasihatkan, eloklah berbincang dengan doktor jika pesakit masih rasa keliru dan resah dengan penerangan ringkas saya.

Jika pesakit masih mahukan pengesahan, bolehlah melakukan imbasan CT Scan dan MRI otak, kerana tumor otak sekecil 1cm dpt dikesan melaluinya.

Susunan Dr Zubaidi b Hj Ahmad (010610) http://www.facebook.com/drzubaidi