Takut Pada Jarum: Benar atau Mengada-ngada?

 

Sampai pitam?

Semasa bekerja di hospital awam, saya pernah mengalami peristiwa, pada waktu itu saya merasakan peristiwa itu lucu.

Sedang saya mengambil darah untuk ujian rutin dari seorang isteri, di hadapan suaminya, tiba-tiba saya mendengar bunyi seperti ”nangka yang masak jatuh dari dahan”. Rupa-rupanya suami si pesakit tadi pitam, melihat jarum dan darah dari jauh.

Satu ketika pula ketika saya memberikan suntikan kepada seorang pegawai polis bermisai lebat di punggungnya, dia berjalan bersahaja ke ruang menunggu ubat dan tiba-tiba dia jatuh akibat pitam.

Dalam kedua-dua kes itu saya membiarkan mangsa yang pitam itu terus berbaring di lantai. Ini akan memastikan darah dari tubuhnya mengalir semula ke otak. Alhamdulillah, setelah beberapa minit, mangsa yang pitam tadi telah sedar semula.

 

Sejauh mana kebenaran ketakutan ini?

Dalam istilah perubatan ketakutan pada jarum dinamakan sebagai trypanophobia , iaitu ketakutan yang melampau dan ‘ketakutan tidak masuk akal’ terhadap prosedur perubatan yang menggunakan jarum. Ini termasuk semua bentuk suntikan memasukkan ubat, pengambilan darah atau pun apa-apa saja yang melibatkan penggunaan jarum.

Ianya melibatkan lebih kurang 10 peratus dari masyarakat. Mereka ini mengelakkan diri dari pergi ke hospital dan lebih rela mati dari membenarkan diri mereka dilakukan apa-apa prosedur melibatkan jarum. Ramai juga yang mati akibat kejutan dari ketakutan ini.

Tidak banyak catatan dalam journal perubatan. Hanya satu catatan komprehensif mengenai ketakutan pada jarum ini dalam penulisan perubatan, iaitu: Needle Phobia: A Neglected Diagnosis oleh Dr James G. Hamilton, M.D. terbitan 1995 dalam The Journal of Family Practice. [Vol. 41, No.2, pp. 169-175]

Doktor dan jururawat staf yang terlibat dengan pesakit haruslah melihat masalah ini sebagai masalah yang seius. Pesakit bukannya mengada-ngada.

Pesakit mungkin pengsan dan ada yang mungkin terus mati apabila ditunjukkan jarum! Kelakar kan? Tidak, ianya adalah keadaan ketakutan yang  benar, bukannya dibuat-buat, mengada-ngada dan dipertunjukkan untuk bahan ketawa. Apabila melibatkan nyawa, ianya adalah sesuatu yang serius.

 

Takut jarum atau takut sakit?

Trypanophobia mempunyai beberapa jenis. Kebanyakannya memerlukan rawatan perubatan, namun sebahagiannya pula tidak. Ini kerana mereka sebenarnya bukannya takut pada jarum itu sendiri, tapi takut pada prosedur yang melibatkan jarum itu mungkin menyakitkan.

Oleh itu harus dibezakan sama ada takut kepada jarum, atau takut pada prosedur yang menyakitkan itu. Ketakutan yang benar-benar pada jarum inilah yang dikenali sebagai ”trypanophobia”.

 

Cetusan ketakutan  

Ramai yang tertanya-tanya bagaimana puncanya seseorang boleh takut kepada jarum yang halus? Menurut Dr. James G. Hamilton, ketakutan jarum ini bermula dari ketakutan terhadap gigitan binatang buas atau berbisa, kemudiannya ketakutan berevolusi pada ketakutan apabila kecedaraan tikaman pisau dan pedang, dan akhirnya berevolusi menjadi ketakutan pada jarum.

Ketakutan ini melibatkan baka keturunan (genetik), bermakna jika ada di antra ahli keluarga yang takut jarum bermakna, ahli keluarga yang lain juga mungkin takutkan jarum juga. Cuma kemungkinan ahli keluarga yang lain tidak mempunyai tahap ketakutan yang serius.

 

Membezakan beberapa jenis ketakutan jarum  

Ketakutan jarum ini berkait dengan ketakutan lain. Namun ketakutan pada jarum ini mempunyai tahap pelbagai.

Vasovagal  

Ini adalah ketakutan jarum yang benar. Ia biasanya dialami oleh lelaki dan disebarkan oleh baka keturunan yang sama.

Ianya dari reaksi vasovagal refect reaction, menyebabkan tekanan darah menjunam secara tiba-tiba menyebabkan pesakit pitam dan pengsan.

Mereka bukan saja takut melihat, malah membayangkan jarum di minda sudah cukup unuk membuatkannya berpeluh, loya, pucat dan rasa panik.

Mula-mula tekanan darah  melonjak tinggi dan degupan jantung menjadi kencang, kemudian tekanan darah menjadi rendah dan degupan jantung menjadi perlahan. Jika tidak diberikan pertolongan kecemasan, dia boleh meninggal dunia.

 Associative 

Ketakutan jenis ini bermula di waktu kanak-kanak. Setengah kanak-kanak mula menjadi ‘berani’ apabila meningkat remaja, namun ada yang terbawa-bawa sehingga ke dewasa. 

Associative trypanophobia bermula apabila ada pengalaman melihat peristiwa di mana rakan-rakan mereka yang menjalani pengalaman sakit bila melibatkan prosedur jarum.

Contohnya ketika berkhatan, sama ada ketika mahu dibius atau ketika mahu dipotong kulitnya. Ianya lebih kepada ketakutan akibat trauma, bukannya jarum itu sendiri.

Akibatnya pesakit mengalami gangguan psychologi seperti kerunsingan yang keterlaluan, tidak boleh tidur, asyik memikirkan prosedur yang bakal dihadapi dan cepat panik.

Resistive atau Hyperalgesic 

Sesetengah kita boleh menahan sakit, namun ada sebahagian kita langsung tidak mampu menahan sakit. Cucukan jarum tidak menberikan kesakitan pada seseorang, boleh jadi menjadikan kesakitan yang luar biasa pada pesakit lain.

Ianya bermula apabila menyaksikan orang lain menjalani prosedur yang melibatkan jarum. Ia membayangkan dan terasa seolah-olah jarum itu menucuk mereka. Ini menyebabkan dia menjadi takut, panik dan pitam.

Pengkajian neuroscience mendapati perasaan apabila melihat orang lain dicucuk telah mengaktifkan kawasan otak tertentu. Kawasan otak ini kebiasaannya diaktifkan apabila seseorang itu benar-benar dicucuk.

 

Ketakutan yang kait-mengait?

Trypanophobia adalah suatu ketakutan mental yang amat berkait dengan  ketakutan yang lain. Sebagai contohnya ketakutan pada doktor disebut sebagai iatrophobia, akibat mengaitkan jarum dan kerjaya doktor.

Pesakit yang takut kepada jarum tidak semestinya berada di bilik doktor untuk merasakan ketakutan, panik dan kerisauan itu. Ada banyak faktor lain yang menyebabkan perasaan itu wujud.

Di antaranya ialah kecederan menyebabkan pendarahan, melihat jarum itu sendiri atau gambar jarum sahaja, pin kertas, bilik bedah, bangunan hospital, baju makmal yang putih, doktor, dentist, jururawat, atau  bau bahan antiseptik.

 

Tip-tip yang dapat membantu   

Keberkesanan behavioral therapy bergantung kepada pesakit dan tahap ketakutannya. Jika ketakutan anda terhadap jarum tidak serius, cuba lakukan tip-tip berikut:

  1. ”Jangan menganggapnya sesuatu yang memeningkan kepala” Jangan memikir tentang jarum, berapa besar jarum yang bakal digunakan atau suntikan yang akan diberikan. Memikirkan semua perkara itu akan menyebabkan kerisauan bertambah.
  2. ”Fikirkan perkara lain” Cuba alihkan perhatian. Bawalah kawan-kawan yang boleh memberikan sokongan. Fikirkan perkara-perkara yang menggembirakan dalam hidup anda.
  3. ”Teruskan saja” Maklumkan kepada doktor bahawa anda takut kepada jarum, tapi mahu ianya dilakukan dengan pantas. Jika berlengah, suntikan itu akan mengambil masa yang lebih lama.
  4. ”Jangan lihat ” Jika anda melihat jarum mencucuk ke dalam diri anda, kemungkinan anda rasa menyesal, menyumpah dan menggerakkan tangan pula. Ini akan melambatkan prosedur itu.
  5. ”Aku kan sudah dewasa” Fikirkan anda bukannya kanak-kanak lagi, dan jarum itu bukannya pisau yang boleh membunuh. Bayangkan ianya hanya gigitan nyamuk yang kecil.
  6. ”Relax!” Ingat untuk bertenang, lihat benda lain ketika dicucuk,  bertasbih dan bertahmid, mohon pertolongan Nya dengan berdoa agar Allah mudahkan suntikan itu.
  7. Jika semua perkara di atas tidak membantu dan anda masih lagi merasa pening, loya dan lemah, beritahulah doktor. Jika suntikan itu wajib diberikan, mintalah dilakukan dengan berbaring. Ini mengurangkan rasa hendak pitam itu.

 

Kesimpulan

Ketakutan pada jarum (Needle Phobia) yang serius boleh menyebabkan kematian secara langsung, apabila pesakit tidak mahu ke hospital walaupun kesihatannya tenat.

Kematian juga boleh disebabkan perasaan panik dan pitam akibat tekanan darah bertambah rendah. Tanpa rawatan kecemasan, pesakit boleh meninggal dunia apabila darah tidak sampai ke otak melebihi lima minit atau akibat pitam, kepalanya mungkin terhantuk ke benda tajam dan menyebabkan kecederaan kepala dan otak.

Kemalangan-kemalangan seperti ini jarang direkodkan kerana pesakit trypanophobia tidak pergi mendapat rawatan kerana takutkan jarum dan hospital. Ini semua menyebabkan kematian di usia muda atau premature death.

Susunan : Dr Zubaidi b Hj Ahmad (27/06/2010)

http://www.facebook.com/drzubaidi

%d bloggers like this: