• Laman

  • Hari Menulis

    Mei 2010
    I S R K J S A
    « Apr   Jun »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930
    31  
  • Bio Q10 for Healthy Heart & Anti-Ageing

Post Pill Amenorrhea: “dari kemandulan sementara kepada kemandulan kekal”

Saya amat kasihan mendengar keluhan para ibu tentang masalah haids mereka. Para ibu ini sebenarnya wanita yang sihat, atas beberapa tekanan hidup atau nasihat yang salah, mereka mengguna ubat perancang keluarga atau mengawal kelahiran.

Istilah yang digunakan di British ialah Oral Contraceptive Pills (OCP) tetapi di Britain ianya dinamakan Birth Control Pill (BCP).

Setelah bertahun-tahun mengamalkan ubat OCP ini, ibu muda ini mula memikirkan untuk menambahkan seorang lagi ahli keluarga. Namun apa yang memeranjatkan, kitaran haids mereka tidak menentu.

Ada yang datang selepas 3 bulan menunggu. Kedatangan haids juga terlalu pendek masanya, kadang kala hanya beberapa hari. Malah ada yang menunggu sehingga setahun dua. Namun haids mereka tidak juga muncul.

Bagi seorang wanita muda, tanpa kedatangan haids membuatkan mereka ”tidak seperti wanita lain”. Kehadiran darah haids memberikan satu perasaan mereka adalah wanita yang sempurna dan subur. Ada waktu bersolat, ada waktu direhatkan dari solat. Ada waktu berladang dan ada waktu untuk rehat dri berladang. Begitulah ibaratnya.

Akibat dari ”kekeringan” itu maka banyaklah keluhan sampingan seperti sakit kepala, sakit pinggang, mood yang tidak menentu dan panas badan.

Namun masalah utama ialah isu kesuburan. Tentulah seorang wanita muda yang bertahun- tahun  “memandulkan” diri dengan sengaja, akan merasa kecewa apabila mereka menghampiri “kemandulan” yang kekal. Pada pendapat mereka, ketidakhadiran haids menggambarkan bayangan kemandulan yang kekal.

Kalau dulu mereka mengelak daripada menerima nikmat Allah berupa anak dan zuriat yang bakal mendoakan kesejahteraan apabila telah meninggalkan dunia yang fana’ ini. Kini mereka mengejar-kejar peluang untuk menambahkan bilangan anak-anak yang soleh dan solehah yang  bakal menjaga mereka ketika tua nanti.

Namun segalanya sudah terlambat. Akibat kejahilan tentang perkara ini atau telah diberikan nasihat yang salah, maka mereka menyesal akan keadaan diri mereka. Sekarang segalanya bergantung kepada belas kasihan Allah, sama ada kesuburan mereka pulih kembali atau Allah telah mencukupi bilangan anak-anak mereka.

Keadaan inilah yang dinamakan sebagai “Post pill amenorrhea”. Ianya berlaku apabila ketiadaan haids selama enam bulan atau lebih pada seorang wanita setelah berhenti mengamalkan OCP. Keadaan ini tidak berlaku pada semua wanita yang mengamalkan pengambilan OCP. Dianggarkan antara 0.2% hingga 3% mengalami masalah ini.

Akibat kitaran haids yang tidang datang, ramai wanita muda yang kebingungan berjumpa dengan saya (sebagai doctor) meminta nasihat. Mereka tertanya-tanya apakah jalan sunatullah yang telah berlaku pada diri mereka? Adakah mereka ditakdir menghadapi masalah ini dengan tidak semena-mena, atau kesilapan mereka (mengambil OCP) menyebabkan sesuatu yang buruk ke atas diri mereka. Mereka tertanya-tanya apakah yang telah terjadi di dalam diri mereka.

Saya mahu bercerita dari segi medical terminology. Bagi wanita yang biasa dan tidak mengambil OCP, kitaran haids dan kesuburan wanita dikawal oleh kelenjar pituitary. Kelenjar pituitary inilah yang mengeluarkan hormon FSH (follicle stimulating hormone) dan LH (luteinizing hormone). Kedua-dua hormone ini penting kerana menyebabkan pembentukan folikel (follicles) pada ovari.

Di dalam folikel ini mengandungi ova (telur/benih wanita). Semasa folikel ini membesar, mereka mengeluarkan hormone estrogen. Apabila folikel cukup besar (bersaiz 20mm), folikel akan pecah dan menghasilkan hormone progesterone. Jika ada kehadiran sperma (benih lelaki), benih wanita ini akan disenyawakan.

Apa terjadi jika seorang wanita mengambil OCP? Pil perancang sebenarnya mengandungi hormone estrogen dan progesterone. Pengambilan OCP  bermakna tubuh badan wanita itu dibekalkan dengan hormone estrogen dan progesterone dari luar. 

Tubuh akan “tertipu” apabila kadar kepekatan hormone estrogen dan progesterone semakin tinggi dalam badan kerana pengambilan pil perancang ini. Kenaikan kepekatan kedua-dua hormone ini akan memberikan ”negatif feedback” yang mengarahkan agar kelenjar pituitari  berhenti mengeluarkan hormon FSH dan LH. Seterusnya tiada lagi pembentukan folikel dan ova dalam ovari.

Maka jika tiada folikel, tiadalah ova (benih wanita). Walaupun dengan kehadiran sperma (benih lelaki) tanpa ova (benih wanita) menyebabkan suatu proses pembentukan janin terhalang. Inilah sebenarnya yang menghalang seseorang wanita itu dari hamil.

Setelah beberapa lama pengambilan OCP, wanita tadi berhenti pengambilan OCP. Namun kelenjar pituitary akan terus “ditipu” dengan menganggap darah masih lagi mempunyai kepekatan estrogen dan progesterone yang mencukupi. Pada hal kadar hormone dalam badan terlalu rendah untuk menyebabkan kitaran haids yang normal.

Sekali lagi kelenjar pituitari tidak akan mengeluarkan FSH dan LH, maka tiada penghasilan folikel dan ova. Maka tubuh akan terus ”dimandulkan” walau tanpa pengambilan OCP selain tidak mendapat kitaran haids yang normal.

Penderitaan seorang wanita menyebabkan dia bertanya-tanya di dalam diri, “sampai bilakah dia harus menunggu kedatangan haidsnya”. Jangan risau, selalunyakitaran haids akan kembali dalam masa tiga hingga enam bulan. Sesetengah wanita terpaksa menungu sehingga dua tahun untuk mendapat semula kitaran haids yang normal.

Walaupun dari segi teori agak sukar untuk mendapat anak akibat haids yang hilang itu, namun kemungkinan besar, dengan kudrat dan keizinan Allah, wanita itu boleh mengandung sebelum kitaran haids  menjadi normal. Kebolehan tubuh badan cuba mengawal dan mendapatkan semula kitaran haids adalah terlalu menakjubkan (dengan izin Allah).

Kadang kala seorang doktor yang mahir pun tidak dapat menentukan mana satu yang akan pulih dahulu: wanita itu menjadi subur (ovulate) semula atau kitaran haidsnya menjadi normal dahulu.

Apa yang harus wanita itu lakukan untuk mengusahakan ikhtiar dalam usahanya bertawakal? Dia seharusnya berjumpa dengan doctor pakar yang berkelayakan, agar diberikan rawatn yang sepatutnya.

Jangan biarkan kejahilan lalu membuatkan kita semakin jahil dengan mendengar “kata orang kampong” atau jiran yang tidak mahu bertangungjawab atas perkataannya? Adakah mereka akan bertanggungjawab atas rekomendasi (cadangan) yang mereka berikan pada wanita muda yang malang itu.

Adakah wanita yang malang semakin ditimpa penyakit yang pelik-pelik akibat mengikut nasihat “orang kampong” atau “jiran” atau “bidan tidak bertauliah” akan dibela oleh mereka yang memberikan cadangan? Saya amat berharap agar kejahilan kita tidak keterlaluan.

Jika seseorang wanita muda telah berhenti mengamalkan OCP dan masih lagi tidak mendapat kitaran haids yang normal, dan doctor telah mendiagnosa sebagai post pill amenorrhea , maka jangan risau. Banyakkan berdoa dan tetaplah dengan rawatan yang diberi.

Kemudaratan telah berlaku dan tidak perlu merasa menyesal. Keluh dan resah adalah mainan perasaan yang dibisikkan agar seseorang itu merasa takdir yng berlaku atas kesilapannya.

Berjumpalah dengan doktor yang pakar dan boleh dipercayai apabila kitar haids tidak menjadi normal setelah lebih setahun(dua belas bulan berturut-turut). Namun ada yang mencadangkan selepas menunggu selama enam bulu. Ini semua bergantung kepada kesabaran. Saya sendiri lebih suka kalau wanita itu menunggu selama setahun dan mengharapkan kedatangan kitar yang normal secara semulajadi, tanpa diberikan apa-apa ubat.

Selalunya doktor akan mencadangkan sejenis ubat (maaf saya tidak boleh memberikan prescripsi secara umum) yang akan merangsangkan kelenjar pituitary mengeluarkan semula FSH dan LH.

Ubat itu juga akan menghalang reseptor (sebagai receptor blocker) yang sepatutnya dirangsang oleh kehadiran estrogen di rahem (uterus). Ini akan menjadikan seolah-olah kandungan hormone estrogen dalam badan dalam tahap yang rendah, akibatnya kelenjar pituitary akan mengeluarkan FSH.

Dengan kehadiran FSH dalam tubuh, folikel akan dbentuk di ovari. Folikel akan membesar (dengan perlahan-lahan menaikkan tahap estrogen), akhirnya folikel itu pecah dan mengeluarkan ova (benih wanita) di samping mengeluarkan hormone progesterone.

Estrogen akan mengarahkan rahem (uterus) agar menyuburkan benih yang ditanam (jika telah ada persenyawaan). Oleh itu, teruskanlah mencuba mendapatkan zuriat dengan aktiviti jimak kerana dengan kudrat Allah, tiada siapa dapat menjangka bahawa wanita itu akan hamil.

Namun jika tiada persenyawaan, rahem akan mengeluarkan darah haids. Ini bermakna dengan sebab pengambilan ubat itu, kitaran haids wanita itu menjadi normal.

Susunan Dr Zubaidi Hj Ahmad. (260510)

Rubella dan Kehamilan

Vaksin Rubella diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia

Saya mendapat soalan dari seorang rakan FB mengenai Rubella. Soalan beliau            

  ”Salam doktor.. saya ada persoalan berkaitan dgn suntikan rubela… ada kesan ke jika kita tidak mengambil suntikan rubela masa kanak-kanak dulu? kini saya telah berkahwin dan merancang untuk mempunyai anak… perlu ke saya mengambil suntikan rubela tu sekarang ataupun tidak perlu langsung…? thanx ”          

Untuk menjawab soalan beliau elok kita berkenalan dengan virus dulu. Rubella adalah sejenis virus. Ianya juga dikenali sbg German measles. Kanak-kanak, remaja dan org dewasa boleh dijangkiti virus ini.            

Ia merebak dari seorang ke pada seorang yang lain. Rubella sebenarnya menyebabkan demam dan masalah kulit yang tidak serius. Namun jika seorang wanita hamil dan dijangkiti Rubella, maka virus ini akan menyerang janin dalam kandungan.              

Jika puan dijangkiti virus Rubella, tanda pertama yang mungkin puan perhatikan ialah ruam (rash). Namun begitu, sebenarnya rubella telah mula menjangkiti puan 2 hingga 3 minggu sebelum ruam bermula.              

Beberapa hari sebelum ruam kelihatan, pesakit akan merasa bengkakan kelenjar yang sakit di belakang telinga, leher dan tengkuk. Selepas beberapa hari kelenjar ini tidak lagi sakit, namun bengkaknya masih berterusan.              

Selalunya ruam bermula dari muka. Ia merebak ke bawah iaitu ke badan, lengan terus ke tangan, peha terus ke kaki. Namun ianya hanya bertahan selama 2-3 hari saja kemudian akan hilang dengan sendirinya. Kadang kala pesakit tidak mempunyai ruam langsung. Cuma mungkin mengadu sakit kepala, sakit tekak dan rasa tidak sihat.              

Saya cuma mahu ingatkan jika kita ada tanda-tanda diserang virus Rubella, tolong jauhi diri dari wanita hamil dan bayi kecil.              

Usia kehamilan tiga bulan pertama adalah jangka masa yang amat berbahaya. Rubella boleh menyebabkan beberapa kecacatan pada bayi yang dihamilkannya:              

1. Kehilangan pendengaran atau pekak (deafness)              

2. Kebutaan atau masalah penglihatan              

3. Masalah jantung, otak dan saraf.              

Jika puan mengandung  dan dijangkiti virus rubella, haruslah memberitahu doktor yang menjaga puan. Pastikan anak puan diperiksa secara berkala oleh pediatrician. Kadang kala masalah-masalah ini tidak dapat dikesan sehingalah kanak-kanak ini membesar.              

Bagi menjawab soalan dia atas sama perlu suntikan vaksin, saya lebih suka kalau puan tahu kedudukan imuniti puan terhadap Rubella itu sendiri.              

Jika puan belum pernah dijangkiti oleh virus rubella, bermakna puan tidak mempunyai antibodi semulajadi menentang virus Rubella. Atau jika puan tidak pernah mendapat suntikan Rubella, maka puan juga tidak antibodi yang dirangsangkan melalui vaksin.              

Dalam kedua-dua keadaan, puan adalah berisiko tinggi jika puan hamil dijangkiti virus Rubella dan anak yang dihamilkan mungkin mendapat kecacatan itu.              

Namun jika tidak pasti adakah puan telah disuntik dengan vaksin Rubella, puan boleh melakukan pemeriksaan darah untuk menentukan tahap immuniti puan. Maka sebelum berkahwin, seeloknya puan menjalankan ujian ini jika puan tidak pasti adakah telah disuntik atau belum. Jika sudah berkahwin, segeralah melakukan pemeriksaan ini. Sekurang-kurangnya enam bulan sebelum puan mengandung. Jika puan disahkan tidak mempunyai antibodi atau dengan kata lain tidak immune terhadap virus Rubella, segeralah mendapatkan suntikan Rubella.              

Namun begitu sebelum disuntik, pastikan puan:              
  1. Tidak sedang hamil atau tidak merancang kehamilan dalam masa 3 bulan.            
  2. Tidak demam atau penyakit-penyakit lain yang serius.            
  3. Tidak mempunyai penyakit yang immunosuppressant (daya tahan yg kurang) eg kanser, leukemia dan lymphoma    
  4. Tidak mengambil apa-apa ubat seperti prednisolone, buat rawatan kanser yang boleh merendahkan daya tahan puan.       
  5. Tidak menerima gamma globulin (immune globulin) dalam masa 3 bulan yang lepas.            

  

Namun jika puan sedang menyusukan anak, puan selamat untuk menerima suntikan Rubella.              

Kadang kala terdapat kesan sampingan yang tidak merbahaya. Antaranya ialah seorang dari empat orang yang diberikan suntikan Rubella mengalami masalah sakit dan bengkak di sendi-sendi. Ianya boleh berlaku dalam 1-3 minggu selepas suntikan, dan selalunya akan beransur pulih selepas 2-3 hari. Selain dari bengkak dan sakit sendi, kesan sampingan lain seperti sakit dan kebas pada tangan dan kaki.              

Susunan Dr Zubaidi b Hj Ahmad            

https://drzubaidi.wordpress.com              

Plantar Fascitis

Pesakit kerap datang berjumpa saya bertanyakan tentang kaki mereka yang bengkak dan sakit. Terlalu banyak sebab yang mungkin menyebabkan kedua-dua keadaan itu. Tidak adil bagi pesakit menyoal saya bertanyakan sebabnya tanpa membenarkan saya melakukan bebarapa ujian.

Antara ujian yang biasa dilakukan ialah pemeriksaan darah, untuk mengesan diabetes mellitus, rheumatoid atau rheumatic disease (dua penyakit berbeza), gouty arhtritis dan beberapa masalah sendi dan sistemic yang baik.

XRAY juga harus dilakukan untuk melihat kecacatan (defoermity) struktur tulang atau lebihan serpihan tulang (spur) yang mungkin melekat pada mana-mana tulang kaki.

Namun apa yang sering berlaku segala ujian-ujian yang dilakukan adalah negatif. Kemungkinan kerosakan berlaku pada ligament kaki yang dikenali sebagai ligament Plantar Fascia. Kerosakan ligament ini dinamakan Plantar Fascitis.

Ianya adalah masalah yag biasa berlaku pada tumit kaki. Keadaan ini berlaku apabila ligament yang dinamakan ligament itu mula menjadi lemah dan koyak. Ini mengakibatkan radang di bahagian tumit dan seluruh tapak kaki. Namun kesakitan itu lebih tertumpu pada tumit (calceneus bone) di mana ligament itu melekat di situ.

Kerosakan tisu ligament mengakibatkan radang dan seterusnya menyebabkan kesakitan terutama di awal pagi. Ini kerana pada waktu malam kerosakan tisu dan radang itu beransur pulih. Maka pesakit selalu berasa selesa di tengah malam.

Namun di awal pagi apabila pesakit cuba memijak kakinya ke lantai sekaligus memberi tekanan pada kaki dan ligamen Plantar Fascia maka ini menyebabkan pesakit berasa sakit semula. Inilah punca di mana pesakit merasakan kesakitan di awal pagi apabila memijak lantai.

Namun ianyakan beransur kurang apabila pesakit mula bergerak melakukan kerja, apabila tisu kaki mula biasa (warms up). Namun begitu keadaan ini (pain-free period) tidak akan lama apabila pesakit berdiri lama ketika bekerja, melakukan aktiviti fizikal yang lasak atau berdiri setelah lama duduk.

Selalunya kesakitan itu digambarkan sebagai kesakitan di tumit seperti terbakar, mencucuk dan berdenyut-denyut.

 

Apakah dia sebenarnya ligamen Plantar Fascia ?

Plantar fasciitis adalah ligamen yang panjang terdiri daripada fibrous tissue yang berada di bawah telapak kaki, melekat di antara jari kaki (toes) dan tulang tumit (calcaneous) . Ianya ibarat ‘rubber band’. Setiap kaki kita melangkah, ligament ini akan menjadi merenggang. Jika tekanan atau bebanan yang dikenakan terlalu kuat (akibat berat badan, berdiri terlalu lama dan aktiviti lasak), tisu ligament ini menjadi koyak dan radang.

Kebanyakan kes-kes seperti ini tidak memerlukan pembedahan atau mana-mana prosedur invasive. Rawatan konsevatif sudah memadai.

Namun setiap orang mempunyai tindak balas yang berbeza dalam proses penyembuhan, ada yang sembuh dalam masa yang singkat dan ada yang sembuh dalam masa yang lama. Maka penyakit ini memerlukan kesabaran yang tinggi. Setiap penyakit yang kompleks sebegini, tanpa kesabaran, menyebabkan pesakit bertambah runsing dan boleh berada dalam kemurungan.

Walau bagaimana pun ada beberapa factor yng menyebabkan ligament Plantar Fascia ini mudah rosak dan koyak. Sekali lagi saya terangkan, selain dari masalah berat badan yg ‘overweight’ (BMI>30) atau ‘obese’ (BMI>35), pekerjaan yang memerlukan lama berdiri dan aktiviti sukan yang lasak juga merosakan tisu kaki.

Bagi pekerja yg terpaksa berdiri selama 8-12 jam sama ada dia overweight atau obese, dinasihatkan agar memakai kasut yg mempunyai sokongan yang sempurna, iaitu kasut yang longgar dan mempunyai pelapik cushion yang tebal.

Faktor umur juga memainkan peranan yang sangat penting.

Warga emas lebih merasakan masalah sakit kaki kerana apabila seseorang semakin berumur, semakin banyak tisu kaki terutama ligament Plantar Fascia yang tidak kuat dan lemah, maka lebih mudah. Keadaan ini akan bertambah teruk jika warga emas ini obese dan mempunyai penyakit diabetis mellitus.

Penyakit diabetes mellitus adalah faktor utama bagi menyebabkan sakit kaki bertambah teruk. Sama ada pengidap penyakit ini seorang yang masih muda atau telah berumur, diabetes mellitus (keadaan di mana gula dalam badan tinggi) telah menyebabkan kerosakan tisu kaki secara langsung.

Wanita yang hamil juga mudah mengalami masalah ini kerana pertambahan berat badan (akibat janin yang semakin membesar) dan hormone estrogen mempunyai kesan melembutkan dan melemahkan semua ligamen dalam tubuh termasuk ligament Plantar Fascia.

Sebab lain ialah keradangan sendir-sendi kaki (arthritis) samada rheumatic atau rheumathoid. Dua penyakit sendi ini adalah amat kompleks dan harus berbincang dengan doktor pakar mengenainya.

Gouty arthritis juga berlaku akibat pengumpulan uric acid dalam sendi-sendi kecil di kaki menyebabkan kaki bengkak dan sakit. Penyakit rheumatic, rheumatoid dan gouty arthritis dapat dikesan dengan pemeriksaan darah.

Saya amat mencadangkan agar jika kesakitan ini berterusan selama beberapa minggu, harus berjumpa dgn Pakar Orthopaedic. Penyakit yang kompleks tidak harus dirawat menggunakan ubat penahan sakit dan ubat yang mengurangkan bengkak sahaja.

Ini kerana penyakit-penyakit lain yang seakan-akan dengan Plantar Fascitis ialah Achilles tendonitis, heel spurs, flat foot atau keretakan tulang disebabkan kecederaan trauma yang disangkakan tidak teruk. Dengan melakukan x-ray mungkin akan menunjukkan kehadiran heel spur atau masalah keretakan.

Ada juga disebabkan oleh pemakaian kasut yang tidak betul dan sesuai. Sama ada ianya terlalu ketat, atau tidak mempunyai pelapik yang baik. Kasut bertumit tinggi juga menyebabkan kerosakan secara perlahan-lahan pada ligament-ligamen di kaki.

Secara mekanikalnya, kecacatan (deformity) pada kaki juga menyebabkannya menjadi sakit. Kecacatan pada kaki kadang kala tidak disedari, ianya hanya dapat dikesan melalui xray.

Saya mencadangkan satu tip yang boleh dicuba di rumah, untuk mengurangkan kesakitan kaki ini. Bagi mereka yang sudah muak dengan ubat penahan sakit, tip ini sangat berguna.

Caranya dengan merendamkan kaki ke dalam besen yang berisi ais. Pada mulanya ianya tentu tidak selesa, tetapi setelah beberapa lama, ianya akan memberikan kelegaan. Mulakan dengan menggunakan airbatu/ais yang sedikit dahulu sebelum menggunakan ais yang banyak.

Untuk mengurang kesakitan pada penyakit Plantar Fascitis, ubat yang biasa dipreskribsikan oleh doktor ialah ubat penahan sakit. Namun jika kesakitannya keterlaluan, injeksi pada tumit yang sakit akan memberikan kelegaan yang serta merta. Namun bukan semua doktor mampu memberikan injeksi ini secara berkesan.

Selain itu rawatan yang kurang kesan, namun membantu penyembuhan dalam jangkamasa panjang ialah rawatan menggunakan gelombang bunyi.

Ianya dinamakan rawatan extracorporeal shock wave therapy (ESWT) iaitu sejenis gelombang bunyi yang diberikan pada tisu yg rosak agar proses penyembuhan ini akan bertambah cepat.

Jalan terakhir mungkin pembedahan untuk mengurang kesakitan.

Kesan jangkamasa panjang, jika rawatan tidak diberikan, pesakit akan mengalami gaya jalan (gait) yang tidak betul bagi mengurangkan kesakitan ini. Seterusnya memberikan kesan mekanilkal pada pergelangan kaki, lutut dan sendi pinggul (hip joint) pula.

Susunan Dr Zubaidi b Hj Ahmad. https://drzubaidi.wordpress.com

Ovarian Cyst

Sekadar berkongsi pengalaman. Saya teringat kepada seorang wanita yang dimasukkan ke wad sakit puan akibat perutnya amat besar. Pelbagai perubatan alternatif telah dicuba. Pelbagai nama juga telah diberikan kepada penykit serupa ini. Ada yang kata ”busung”, dan ada yang menamakannya sebagai ”bunting keladi” kerana wanita itu dikatakan telah hamil melebihi setahun.

Apabila perbincangan dilakukan bersama dengan suaminya, saya mendapati mereka adalah keluarga yg agak sederhana dan berpelajaran. Saya amat musykil apabila rawatan moden di hospital menjadi rawatan terakhir sedangkan penyakit wanita itu sudah memasuki tahun kedua. Terlalu lama untuk membuat keputusan.

Perasaan wanita itu bercampur baur, antara sedih dan malu. Malah kelihatan tertekan. Mungkin melihat layanan suaminya yang semakin pudar. Saya dapat bayangkan bagaimana seorang suami mendekati isterinya di waktu malam dengan perut yang membusung besar namun tidak pula melahirkan anak. Wanita itu juga mungkin malu dgn jiran-jiran yang mula mengata, kononnya dia ”dibuat” orang kerana ”merampas” lelaki yang menjadi kekasih orang.

Pelbagai fitnah yang datang, yang menyakitkan dari keluarga si pihak suami yang mengesyaki penyakit wanita itu akibat sumpahan arwah ibu lelaki yang tidak merestui perkahwinan itu.

Amat memeningkan apabila semua tahyul, khurafat dan fakta bercampur baur. Akhirnya dibawa ke hospital akibat tidak tahan dengan umpatan keji saudara dan jiran, dan suami pula seolah-olah tidak peduli dan tawar hati terhadap apa yang berlaku pada dirinya.

Pemeriksaan awal menggunakan ultrasound menunjukkan ada ketumbuhan di abdomennya. Bilangan dan size ketumbuhan itu telah ditentukan. Sebuah ovarian cyst berukuran 12cm X 12cm.

Oleh kerana ianya tidak mendatangkan simptom yang berat, maka wanita ini amat berat hati untuk menjalankan pembedahan. Apatah lagi beliau hanya merasakan kesakitan atau ketidakselesaan itu hanya akibat kesan tekanan pada pelvis, vagina dan pinggangnya.

Selain dari itu wanita itu hanya risaukan abdomennya yang semakin membesar, dan kadang kala mengganggu selera makannya. Kencing menjadi kerap dan buang air besar menjadi sembelit. Kadang kala terasa sakit ketika atau baru bermula atau di akhir haids. Ini menjadikan haidnya juga tidak teratur. Kemandulan mungkin berlaku apabila hubungan seksual suami isteri tidak lagi terjadi

Ketumbuhan yang dimaksudkan ialah ovarian cyst. Ianya bukanlah penyakit kanser kerana ianya tidak merebak secara merbahaya. Ketumbuhan ini membesar secara perlahan-lahan tanpa merebak ke tempat-tempat lain seperti paru-paru dan hati.

Ia sebenarnya adalah kelompong nipis yang mengandung air, berada dalam ovari. Kelompong seperti ini biasanya normal physiology bagi wanita yang subur kerana kelompong ini mengandungi ova (telur wanita).

Namun apabila ianya tidak menetas dan saiznya melebihi 20mm atau 2 cm, maka inya dinamakan ovarian cyst. Saiznya boleh bertambah besar selagi ianya tidak menetas. Ianya mungkin bersize biji kacang atau mungkin sebesar buah tembikai.

Jika tidak dibedah, kemungkin ianya akan pecah sendiri secara semula jadi dan menyebabkan pendarahan yang banyak. Untuk menghentikan pendarahan ini, pembedahan harus dilakukan. Maka sama ada mahu menunggu ianya pecah secara semula jadi atau dikeluarkan, pembedahan adalah jalan terbaik. Pembedahan hanya dinasihatkan apabila saiznya melebihi 5cm.

Alhamdulillah sekarang wanita itu telah mempunyai 3 orang anak. 

Pudendal Nerve Entrapment

Seorang wanita mengadu suaminya iaitu seorang lelaki berumur 40an telah mengadu sakit di bahagian perutnya. Kesakitannya menjadi bertambah buruk apabila dia duduk menjalankan tugasnya sebagai seorang pengurus di sebuah kilang.

Bila ditanya bagaimana sakitnya, dia menggambarkan kesakitannya seperti dihiris-hiris dan ditusuk dengan pisau. Kadang kala terasa seperti terbakar di peha di sebelah dalam, punggung, bawah abdomen dan juga bahagian kemaluan. Kerandut zakar (scrotum) nya juga menjadi sensitif sehinggakan terkena kain yang dipakai pun dia merasa terlalu sakit seperti dihiris-hiris.

Saya masih teringat satu kes beberapa tahun lalu di mana seorang wanita berumur 40an mempunyai anak 8 orang, semuanya dilahirkan secara normal, vaginal delivery mengadukan masalah seakan sama iaitu dia merasa sakit di bahagian “peranakan dan saluran najis”. Kesakitannya menyebabkan dia tidak menikmati hubungan kelamin bersama suaminya selama ini, walupun dia mampu melahirkan 8 orang anaknya.

Apa yang pelik, semua pemeriksaan dan kajian telah dilakukan terhadap mereka termasuk ultrasound, pelvic xray, CT scan dan MRI adalah normal. Malah doktor berkata, ”awak tidak ada apa-apa sakit, awak normal”.

Apa yang menyedihkan apabila dia dirawat di sebuah wad di hospital kerajaan, nurse dan junior doktor melabelkannya sebagai seorang yang mengada-ngada dan sakit jiwa, kerana dia sering mengadu kesakitan sehinggakan dia tidak boleh tidur dan kadang kala memerlukan injeksion.

Ada juga kata-kata sinis seorang doktor yang menggelarkannya sebagai penagih dadah kerana kerap meminta injeksion penahan sakit terutama di tengah malam kerana tidak tahan sakit akibat terlalu bisa di bahagian kemaluan dan saluran najis. Malah yang pelik, apabila terasa sakit pesakit akan berdiri dan serta-merta kesakitannya akan hilang. Dia tidak boleh berbaring atau duduk langsung. Ini sememangnya mengganggu tidurnya.

Apabila pesakit duduk di atas kerusi, dia merasa kesakitan yang keterlaluan kadang kala sukar digambarkan. Namun dia duduk di mangkuk tandas, ia merasa selesa kerana tiada tekanan secara langsung ke bahagian pelvisnya.

Ada pesakit yang memberitahu saya, dia sukar untuk memulakan membuang air kencing (voiding) walaupun bila sudah dimulakan, ianya mudah dan tidak sakit. Pesakit terpaksa pergi ke bilik air beberapa kali, dan doktor melabelkannya sebagai ”kencing kotor”.

Selain itu ada beberapa pesakit yang mengadu mengalami sembelit (constipation) malah ada yang tidak berminat langsung dgn hubungan intim (sexual relationship) antara suami isteri. Bagi lelaki dia mungkin mengalami ”mati pucuk” (erectile dysfunction) dan apabila climax (orgasm) dia merasakan kesakitan. Bagi wanita ketika kemasukan zakar, kesakitannya amat terasa.

Tidak ramai doktor yang mengetahui bahawa apa yg berlaku sebanarnya, pesakit ini telah mengalami kerosakan saraf pudendal. Kerosakan ini selalunya disebabkan oleh faktor meknikal dan/atau radang pada saraf itu.

Kerosakan dan radang ini disebabkan parut yg teruk ketika melahirkn anak atau ketika pembedahan di bahagian itu. Apabila proses penyembuhan berlaku, ianya akan menjadi fuse (bercantum) dengan otot-otot di sekelilingnya di kawasan pelvis. Kadang kala saraf itu terperangkap(trapped) di antara sacrotuberous dan sacrospinalis ligamen.

Menunggang basikal secara salah dan terlalu lama (terutama pelumba basikal professional) atau posisi kerusi basikal (bicycle seat) yang tidak sesuai menyebabkan sacrotuberous dan/atau sacrospinous ligamen menjadi tebal dan Pudendal nerve terperangkan di antaranya, menyebabkan keadaan yang tidak selesa dan kesakitan yang diterangkan di atas tadi..

Apa yang perlu dilakukan ialah berjumpa dengan pakar bedah. Jika segala pemeriksaan adalah negatif dan anda diberitahu bahawa “anda normal”, jangan berputus asa. Berjumpalah dengan beberapa orang pakar yang lain dan bincangkanlah tentang kerosakan saraf pudendal.

Ada beberapa teknik yang mungkin kita boleh lakukan. Salah satunya dengan melakukan ”pelvic floor exercise” iaitu dengan cara mengemut otot pelvis atau seperti menahan kencing. Ianya membantu, namun jika ianya bertambah teruk sakitnya, haruslah dihentikan.

Cara lain ialah dengan membongkok dan menyentuh jari-jari kaki. Atau dengan membawa kaki ke dada. Ubat penahan sakit hanyalah untuk sementara dan haruslah berdiskusi dgn pakar bedah untuk mengurangkan masalah yg dihadapi.

Susunan Dr Zubaidi b Hj Ahmad.