Restless Legs Syndrome (RLS)

Apakah dia Restless Legs Syndrome?

RLS adalah masalah saraf (neurological disorder) di mana terdapat suatu perasaan yang tidak dapat dibendung (irresistible urge) untuk menggerakkan kaki bagi menghentikan “perasaan tidak selesa atau pelik” pada bahagian itu.

Perasaan pelik itu biasanya digambarkan seperti panas terakar, gatal yang teramat sangat, mencucuk-cucuk seperti dicucuk jarum dan kadang kala kebas (paresthesias). Ada juga yang mengadu seolah-olah otot kakinya berasa sangat sakit.

Ada juga menggambarkannya sebagai “ada sesemut yang merayap di bawah kulit”. Ianya seolah-olah serupa dengan masalah ketagihan narkotik,namun pesakit biasanya tidak pernah terlibat dalam penyalahgunaan dadah sebelum ini.

Pesakit akan mula merasakan “kedatangan” perasaan itu apabila dia berbaring atau cuba merehatkan kakinya.

“Perasaan pelik” itu akan hilang sebentar apabila ianya digerakkan secara berterusan. Adakalanya pesakit terpaksa berjalan bermundar-mandir atau menggerakkan kakinya berterusan. Kadang kala pesakit terpaksa melakukan regangan (stretches), atau menunggang basikal di tengah malam untuk menghilangkan perasaan itu.

Walau bagaimana pun ”perasaan pelik” itu akan datang semula tidak lama kemudian. Ramai pesakit yang mendapati perasaan ini akan hilang di awal pagi dan bertambah teruk bila menjelang petang. Ini menyebabkan pesakit akan kurang tidur dan merasa mengantuk di awal pagi.

RLS berlaku pada lelaki dan wanita, namun lebih kerap terjadi di kalangan wanita. Ianya boleh berlaku pada mana-mana umur dan ianya akan bertambah teruk apabila umur bertambah.

Apakah tanda-tanda RLS ?

Pesakit akan merasa tidak selesa atas kehadiran “perasaan pelik” di kaki mereka terutama apabila mereka duduk atau berbaring, menyebabkan mereka mempunyai perasaan yang tidak terkawal (irresistible urge) untuk menggerakkan kaki mereka.

”Perasaan pelik” itu selalunya berlaku pada kaki, bahagian antara lutut dan pergelangan kaki, peha dan kadang-kadang berlaku pada lengan dan tangan juga. Boleh berlaku pada satu anggota dan kebanyakannya berlaku pada kedua-dua belah anggota.

Oleh kerana menggerakkan kaki ( atau anggota bahagian badan) memberikan kelegaan atau menghalangkan perasaan itu, maka pesakit akan menggerakkan kakinya walaupun sedang duduk.

Renggang otot kaki boleh mengurangkan “perasaan” itu dengan cepat dan kadang-kala ianya akan merasa lega sehingga beberapa hari sebelum “perasaan” itu datang semula. Namun ada yg kurang bernasib baik, kelegaan itu hanya sekadar beberapa saat saja.

Maka pada tahun 2003, National Institutes of Health (NIH) US telah merumuskan dan memberikan kriteria bagi pesakit untuk syndrome sebegini.

  1. Pesakit menggerakkan kaki atau tangan samada dengan adanya atau tidak “perasaan” tidak selesa. Perasaan yang dimaksudkan ialah ”perasaan rasa dicucuk, panas atau ada binatang yg merayap ”
  2. ”Perasaan” itu akan hilang apabila pesakit menggerakkan tubuh
  3. “Perasaan” itu akan datang semula apabila pesakit berhenti mengggerakkan tubuhnya.
  4. “Perasaan” itu bertambah menjadi-jadi apabila menjelang petang dan malam.

Ramai yang bertanyakan sebab kejadian “perasaan pelik” ini sehingga seseorang terpaksa menggoyangkan kakinya tanpa henti. Kajian yang dibuat terhadap mayat-mayat pesakit sebegini di US, dan mereka mendapati masalah utama bukannya di bahagian tubuh tersebut.

Apakah yang menyebabkan Restless Legs Syndrome (RLS)?

Ianya berpunca di bahagian otak yang di sebuat sebagai substantia nigra. Bahagian tubuh yang digerakkan adalah normal. Di bahagian substantia nigra ini didapati kandungan zat besi (iron) amat berkurangan.

Maka sudah tentulah para doktor selalunya akan terlepas pandang bagi mendiagnosa penyakit ini. Bagi doktor yang sudah lama tidak mengikuti perkembangan perubatan, selalunya akan berkata kepada pesakit yang pesakit itu normal dan tidak menghidap apa-apa penyakit. Sedangkan pesakit itu sendiri merasakan bahawa dia menderita disebabkan “perasaan pelik” di sesuatu bahagian tubuhnya.

”Perasaan” ini yang menyebabkan dia terpaksa menggerakkan tubuhnya (terutamanya kaki) bagi menghilangkan perasaan itu. Malah para doktor yang putus harap dalam mencari punca penyakit itu akan melabelkan pesakit itu sebagai mengalami masalah mental atau lebih teruk dihantarkan ke wad psychiatric.

Setakat ini kemudahan untuk mendiagnosa pesakit dengan memeriksa otak (untuk diperiksa substantia nigra) amat mustahil. Manakala pemeriksaan darah untuk menentukan sama ada pesakit ini mempunyai kekurangan zat besi (iron) kadang kala sangat mengelirukan.

Pesakit kemungkinan mempunyai kepekatan kandungan zat besi (iron) yang normal dalam darah, namun mempunyai kandungan zat besi (iron) yang kurang di otak (terutama di substantia nigra). Didapati juga mayat-mayat ini mempunyai kandungan dopamine yang kurang sedangkan dopamine adalah salah satu bahan yang digunakan untuk rangsangan saraf-saraf di otak.

Keadaan sebegini (kekurangan zat besi/iron dan dopamine) akan menjadi lebih ketara jika pesakit itu mempunyai pekerjaan yang menggunakan kekuatan tangan atau kaki seperti mengangkat berat, atau kurang bersenam, mengalami kemurungan/depression, kurang tidur, atau memakan ubat-ubat berbahaya dari farmasi atau dari kaki lima.

Kajian juga menunjukkan RLS berkaitan dengan beberapa penyakit atau keadaan seperti berikut. Dalam kata yang lain, pesakit-pesakit berikut mudah untuk mengalami RLS.

Antara penyakit atau keadaan itu ialah :

  1. Mereka yang mempunyai tahap kandungan kepekatan zat besi (iron) yang rendah, dan mempunyai gejala anaemia (kekurangan haemoglobin, dalam sel darah merah).
  2. Mereka yang mempunyai penyakit kronok seperti kerosakan dan kegagalan ginjal, diabetes, Parkinson’s disease dan peripheral neuropathy. Merawat gejala dan penyakit ini akan menyembuhkan RLS.
  3. Wanita yang mengandung juga mengalami RLS terutama ketika dalam trimester ke tiga dan akan hilang kira-kira sebulan selepas melahirkan anaknya.
  4. Sesetengah ubat juga boleh menyebabkan RLS, terutama ubat-ubat yang tidak mendapat kelulusan KKM, dijual secara langsung di kaunter atau di kaki lima.

Kajian juga mendapati bahawa caffeine, alkohol, dan tembakau boleh memburukkan gejala RLS. Apabila pesakit RLS berhenti dari mengamalkan tiga perkara itu, gelajanya menjadi kurang dan kadang kala terus hilang.

Masalah genetik juga memainkan peranan. Lebih 60% RLS adalah disebabkan keturunan dan ianya dipusakai melalui genetik autosomal dominant.

Bagaimana Restless Legs Syndrome dirawat?

Senaman yang berkala dan berterusan akan membantu pesakit untuk nyenyak tidur. Namun kaedah massage (mengurut) kaki yang betul, menekap dengan ice pack atau menuam dengan haba yang agak panas juga membantu memberikan kelegaan.

Bagi pesakit yang mengalami masalah RLS dan tidak boleh tidur, mintalah nasihat doktor dan ubatan/medication untuk mengurangkan ”perasaan” itu. Jika tidak dirawat, pesakit akan merasa letih dan mengantuk di siang hari. Ini akan mengganggu pekerjaan mereka, hubungan persahabatan dgn rakan-rakan atau hubungan suami dan isteri, dan aktiviti di siang hari.

Malah ada di antara mereka yang tidak dapat memberikan perhatian, fokus, masalah ingatan dan gagal menjalankan tugas sehariannya.

Ramai yang tidak mendapat rawatan yang betul, kerana mereka menganggap bahawa penyakit mereka tidak serius. Malah ada yang telah berjumpa dgn doktor, tetapi doktor tidak mendiagnosanya dengan betul, lalu memberikan diagnosa seperti nervousness, insomnia, stress, arthritis, otot kejang (muscle cramps) atau faktor umur yang meningkat.

RLS secara amnya penyakit sepanjang hayat, keadaannya menjadi semakin buruk apabila usia bertambah, ianya boleh mengakibatkan penyakit-penyakit yang lain seperti penyakit kronik ginjal. Mendapat nasihat dan diagnosa yang betul dari doktor mampu mengurangkan risiko sampingan penyakit ini.

%d bloggers like this: