Bahaya Berurut pada Abdomen ketika Hamil

Satu hari saya diterpa oleh pertanyaan di chatting room ruangan FB “doctor, bagaimana hendak membetulkan keadaan bayi  yang songsang?

Saya kecewa, dengan sikap saling menghormati di kalangan kita nampaknya semakin menipis. Apa salahnya berikan salam dahulu, bertanyakan sama ada saya sibuk atau tidak sebelum mengajukan soalan.

Menjawab soalan-soalan di FB adalah sebahagian kerja amal yang saya lakukan percuma, kadang kala terpaksa mengorbankan masa untuk berehat sebentar apabila tiada pesakit yang perlukan rawatan. Maka saya amat berbesar hati apabila rakan FB yang bertanyakan soalan, menghormati masa yang saya  korban itu dengan mengajukan soalan dengan penuh kesantunan.

 

Songsang tidak bermakna situasi bahaya

Selepas menulis perkataan salam, saya bertanya ”puan sudah hamil berapa bulan? Bagaimana puan tahu anak puan songsang?”

Dengan cepat dia menerangkan bahawa bukan dirinya yang hamil sebab dia masih bujang tetapi kawannya yang berbadan dua.

Saya mengurut dada, semoga Allah memberikan kesabaran. Adakah pertanyaan ini adalah “pertanyaan menyibuk hal orang” agar dapat digossipkan ketika minum petang di kedai kopi?

Menjawab soalan tentang medical bukannya seperti menjawab soalan di kedai kopi. Segala perkataan dan kata-kata saya mungkin akan di’quote’ olehnya.

”Kawan saya kata dia hamil 20 minggu. Bila dia pergi jumpa bidan, bidan kata bayi dalam kandungannya songsang”

Saya memang ”kagum” sangat kebolehan bidan-bidan kampung yang boleh mengesan bayi dalam kandungan tanpa menggunakan mesin ultrasound. Saya yang diajar menyambut kelahiran semasa di universiti dan menguruskan pemeriksaan ibu-ibu hamil setiap bulan masih lagi memerlukan teknologi moden untuk mengesan kedudukan bayi dalam kandungan.

Bidan pun dah mengurut untuk betulkan kedudukan bayi” dia menambah.

Mata saya terbeliak mendengarkannya. Risiko mengurut untuk wanita hamil sangat tinggi, terutama apabila perut (abdomen) diurut. Walau apa juga alasan pengurutan itu, sama ada untuk ”menyengkak rahem” (saya pun tak tahu apa yang dimaksudkan dengan perkataan itu) atau memusing kedudukan bayi tanpa kemahiran yang cukup akan memberikan kesan sampingan dari perbuatan itu sangat bahaya.

 

Bukan menguli roti canai

Saya tidak menentang peranan yang dimainkan oleh bidan kampung. Namun kebanyakan bidan kampung yang saya maksudkan memberikan mudarat ialah bidan yang tidak yang tidak bertauliah dari mana-mana institusi kesihatan atau perubatan.

Mereka mendapat latihan dari pengalaman atau pengetahuan yang diajar dari mulut ke mulut atau dengan kaedah ”cuba dan jaya” . Kalau berjaya, ibu dan bayi itu bernasib baiklah, kalau tidak berjaya atau mengalami masalah, maka takdir yang disalahkan.

Mengurut perut ketika hamil tentulah tidak sama dengan mengurut perut selepas melahirkan bayi. Setiap tekanan (pressure) atau pusingan (rotation) yang diberikan pada addomen akan memberikan kesan pada bayi.

Jika terlalu kuat tekanan pada abdomen, maka tekanan itu juga dirasakan pada bayi. Apa yang perlu kita ketahui ialah bayi mempunyai organ dalaman yang lembut. Hati, hempedu, jantung dan paru-paru mereka tidak matang dari segi anatomi dan fisiologikal nya. Organ-organ itu terlalu lembut. Malah tempurung kepala (skull) juga sangat lembut kerana ianya belum lagi bertaut (fused). Tekanan yang kuat akan menyebabkan kecederaan dalam pada organ tersebut.

 

Tali pusat tersimpul

Bayi dalam kandungan bukannya ibarat ikan dalam kolam yang bebas bergerak tanpa penghubung. Bayi itu disambungkan kepada fizikal ibunya melalui tali pusat/tali uri (umbilical cord).

Tali pusat inilah yang membekallan oksigen dan nutrien yang diperlukan oleh bayi dalam kandungan itu daripada ibunya. Apabila tali pusat tersimpul akibat pergerakan bayi ke atas dan ke bawah, ke kanan dan ke kiri, oksigen dan nutrien tidak sampai ke pada bayi.

Oksigen adalah unsur yang amat diperlukan. Tanpa oksigen, otak bayi akan mati dengan serta merta. Akibatnya bayi dalam kandungan boleh meninggal dunia.

Urutan yang cuba mengubah kedudukan bayi selalunya menyebabkan tali pusat tersimpul tanpa disedari. Bagaimanakah bidan boleh yakin apabila urutan ke atas abomen wanita yang hamil, tidak menyebabkan tali urinya tidak tersimpul.

Hanya tanda yang menunjukkan bayi dalam kandungan itu sihat ialah apabila ibu merasa pergerakan bayi itu. Tanpa pergerakan sepanjang hari, bermakna bayi dlamkandungan sedang dalam keadaan bahaya, nyawanya telah terancam dan kemungkinannya bayi itu mati jika tidak dibantu.

 

External Cephalic Version

Dalam perubatan moden, doktor perbidanan kadang kala cuba melakukan teknik mengubah kedudukan bayi dalam kandungan itu agar ianya tidak dilahirkan songsang. Namun ianya amat berbeza dengan cara yang dilakukan oleh bidan yang tidak mempunyai kemahiran.

Kaedah ini dinamakan sebagai external cephalic version mempunyai kejayaan sebanyak 40-70% bergantung kepada kepakaran dan pengalaman doktor itu. Kajian mendapati teknik ini haruslah dilakukan pada usia kandungan 36 minggu, barulah kejayaan akan tercapai. Apa yang dimaksudkan dengan kejayaan ialah, kedudukan bayi yang songsang dikesan melalui imbasan CTScan, akhirnya dilahirkan dengan prentasi normal (kepala dahulu).

Teknik ini tidak akan berjaya jika dilakukan kurang pada 36 minggu. Namun apa yang penting ilah bayi dalam kandungan ini di’monitor’ pergerakan dan degupan jantungnya, kerana risiko yang disebutkan di atas tetap ada. Keadaan bayi dapat dipastikan selamat sepanjang 24jam dengan monitor beberapa kali menggunakan beberapa cara, sebelum dipastikan bayi dlam kandungan selamat dan dibenarkan pulang.

 

Bayi mati dalam kandungan

Apa yang cuba saya mahu tekankan, hanya dengan bantuan imbasan Ultrasound saja, dapat membantu doktor melihat pergerakan bayi dan degupan jantung bayi bagi memastikan bayi dalam kandunagn dberada dalam keadaan selamat dan sihat. (Degupan jantung yang normal bagi bayi dalam kandungan ialah antara 110-160 degupan perminit).

Amat menyedihkan apabila pesakit datang ke hospital atau pusat kesihatan, mengadu dia tidak merasakan pergerakan bayi dalam kandungan selama beberapa hari. Apabila dilakukan imbasan ultrasound, tiada pergerakan bayi dan degupan jantung sudah tiada.

Kematian bayi dalam kandungan amat tragik. Apabila telah timbul cahaya pengharapan di hati sepasang suami isteri untuk menerima tanggungjawab sebagai ibubapa, menunggu kehadiran orang baru dari hari ke hari, namun tiba-tiba mendapat berita buruk bahawa bayi itu telah meninggal dunia. Kelahiran bayi telah meninggal dunia semestinya diiringi dengan perasaan sedih oleh ibubapa, apabila melihat jasad bayi dilahirkan ke dunia namunnya rohnya dihantar terus ke alam yang lebih kekal.

Seeloknya sesuatu tindakan yang boleh mengancam nyawa bayi tidak dipandang ringan oleh ibubapa. Perbuatan mengurut bayi dengan tujuan untuk membetulkan kedudukan bayi dalam kandungan oleh orang yang tidak berkemahiran dan berkelayakan adalah suatu tindakan kecuaian, bukan saja pihak yang mengurut harus disalahkan, namun pihak yang menyerahkan diri mahu diurut juga harus bertanggungjawab.

Kesimpulannya, jangan terlalu mudah untuk mendengar nasihat dari sesiapa saja. Saya bimbang percubaan kita untuk mengubah posisi bayi dalam kandungan agar dapat dilahirkan dengan mudah menjadi satu peristiwa yang amat tragis.  

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 32 other followers